June 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

24 Tahun Mengukir Legasi, UNIC Tampil Dengan Projek Istimewa ‘UNICOUSTIC PODCAST’

Spread the love

Setelah lebih dua dekad mewarnai industri nasyid tanah air, kumpulan nasyid popular UNIC terus membuktikan relevansi mereka apabila tampil dengan sebuah projek istimewa berjudul UNICOUSTIC PODCAST, yang bukan sahaja menghidupkan semula karya-karya klasik mereka, malah menjadi wadah merakam sejarah perjalanan seni kumpulan tersebut.

Menyambut ulang tahun ke-24 penubuhan UNIC, projek berkenaan menyaksikan kesemua lagu daripada album pertama mereka, “You And I See”, dirakam semula dalam nafas baharu menerusi susunan muzik akustik yang lebih segar dan dekat dengan pendengar masa kini.

Lebih menarik, setiap lagu yang dirakam semula itu turut disertakan dengan episod podcast khas yang mengupas kisah di sebalik pembikinan lagu, sejarah awal penubuhan UNIC serta perjalanan suka duka yang ditempuh oleh anggota kumpulan tersebut sepanjang memperjuangkan irama nasyid di Malaysia.

Menurut anggota UNIC, Dr. Fitri Haris, projek ini merupakan sebuah penghargaan kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seni mereka sejak awal kemunculan kumpulan itu pada penghujung era 1990-an.

“Melalui UNICOUSTIC PODCAST, kami ingin membawa pendengar kembali mengimbau nostalgia saat-saat awal penubuhan UNIC. Ia bukan sekadar rakaman semula lagu, tetapi juga dokumentasi perjalanan hidup kami sebagai pendakwah dan penggiat seni nasyid.

“Di dalam podcast ini, kami berkongsi pelbagai kisah yang mungkin tidak pernah didedahkan sebelum ini, termasuk cabaran, pengorbanan dan pengalaman yang membentuk kami sehingga mampu bertahan selama 24 tahun dalam industri,” katanya.

Projek yang diterbitkan oleh UNIC Legacy itu menghimpunkan 10 episod podcast dan 10 lagu akustik, menampilkan tiga anggota utama kumpulan berkenaan iaitu Dr. Fitri Haris, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi.

Menurut Fitri lagi, penerbitan projek berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan daripada Geran Dana Kandungan Kreatif yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi My Creative Ventures.

“Geran ini memberikan impak yang sangat besar kepada pemain industri kreatif, khususnya dalam dunia nasyid yang mempunyai cabaran tersendiri. Ia membuka ruang kepada penghasilan kandungan yang berkualiti serta mampu mendokumentasikan warisan seni dan dakwah untuk generasi akan datang.

“Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk merealisasikan projek yang begitu dekat di hati ini,” ujarnya.

Tambah beliau, UNIC berharap projek berkenaan mampu menghubungkan semula generasi lama yang membesar bersama lagu-lagu mereka, selain memperkenalkan karya-karya ikonik kumpulan itu kepada pendengar baharu.

“Kami berharap UNICOUSTIC PODCAST dapat menjadi jambatan yang menghubungkan kenangan lalu dengan generasi masa kini. Semoga usaha kecil ini dapat terus menyebarkan mesej dakwah, nilai kemanusiaan sejagat dan inspirasi yang selama ini menjadi teras perjuangan UNIC,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital, My Creative Ventures serta rakan-rakan media yang sentiasa memberikan sokongan kepada perjuangan seni dan dakwah yang dibawa oleh UNIC sejak penubuhannya.

Dengan gabungan elemen muzik, penceritaan dan dokumentasi sejarah, UNICOUSTIC PODCAST dilihat sebagai satu usaha signifikan dalam memelihara legasi nasyid tempatan, sekali gus membuktikan bahawa karya yang lahir daripada hati akan terus hidup merentasi zaman.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page