June 3, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Ratu’ LOVEBITES Bakal Temui Peminat Malaysia

Spread the love

Penantian panjang peminat muzik metal akhirnya bakal berakhir apabila kumpulan power metal wanita dari Jepun, Lovebites dijadualkan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia yang di jangka bakal berlangsung Oktober ini.

Khabar angin mengenai kehadiran kumpulan yang semakin mendapat pengiktirafan di pentas metal antarabangsa itu dijangka menjadi antara berita paling menggembirakan buat komuniti peminat muzik keras tempatan yang selama ini hanya mampu mengikuti perkembangan mereka menerusi album, video persembahan dan siri jelajah antarabangsa.

Ditubuhkan pada 2016, Lovebites dikenali menerusi gabungan muzik power metal, speed metal dan melodic metal yang sarat dengan permainan instrumen berteknikal tinggi serta vokal bertenaga. Barisan semasa kumpulan itu dibarisi Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar/keyboard), Fami (bass) dan Haruna (dram).

Sejak kemunculan mereka, Lovebites berjaya membina reputasi sebagai antara kumpulan metal wanita terbaik Asia dengan rangkaian album yang mendapat pujian pengkritik termasuk Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day dan Lovebites EP II. Kehebatan mereka turut terserlah menerusi siri jelajah dunia yang membawa nama kumpulan itu ke Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat, sekali gus memperluaskan pengaruh mereka di kalangan peminat metal global.

Kredit Picture: LOVEBITES FB

Kehadiran Lovebites ke Kuala Lumpur turut dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam landskap konsert metal tempatan yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin rancak menerima kunjungan artis antarabangsa. Dengan kapasiti intim tetapi berimpak tinggi yang ditawarkan Zepp Kuala Lumpur, peminat dijangka berpeluang menikmati pengalaman lebih dekat bersama kumpulan yang terkenal dengan persembahan pentas penuh tenaga dan ketepatan muzik luar biasa itu.

Berdasarkan setlist jelajah mereka sebelum ini, peminat boleh mengharapkan ledakan lagu-lagu popular seperti Holy War, When Destinies Align, The Hammer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United yang sering menjadi senjata utama dalam persembahan langsung mereka.

Lebih menarik, konsert ini bakal menjadi detik bersejarah buat peminat metal Jepun di Malaysia kerana ia merupakan penampilan pertama Lovebites di negara ini sejak penubuhan mereka hampir sedekad lalu. Faktor itu sahaja sudah cukup untuk menjadikan acara tersebut antara konsert metal paling dinantikan tahun ini.

Dengan reputasi sebagai kumpulan yang mengangkat standard persembahan live ke tahap tinggi menerusi solo gitar memukau, permainan bass dan dram yang agresif serta vokal berkuasa, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa 4 Oktober nanti bakal menjadi malam yang sukar dilupakan oleh peminat metal tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page