June 3, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

BLAZE THE WAY: &TEAM Akhirnya Temui LUNÉ Malaysia Ogos Ini

Spread the love

Penantian peminat akhirnya berakhir apabila kumpulan sensasi global, &TEAM, mengumumkan konsert sulung mereka di Malaysia menerusi 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR yang bakal berlangsung pada 19 Ogos depan di Idea Live Arena.

Penganjuran oleh iMe Malaysia itu menjadi detik bersejarah buat kumpulan yang bernaung di bawah YX LABELS milik HYBE apabila buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur bagi bertemu peminat tempatan yang dikenali sebagai LUNÉ.

Dianggotai sembilan ahli iaitu EJ, FUMA, K, NICHOLAS, YUMA, JO, HARUA, TAKI dan MAKI, &TEAM muncul sebagai antara kumpulan lelaki generasi baharu paling berpengaruh di Asia menerusi gabungan bakat antarabangsa, persembahan bertenaga serta konsep penceritaan unik yang menjadi identiti mereka.

Sejak debut, &TEAM berjaya membina reputasi kukuh menerusi siri First Howling yang merangkumi ME, WE dan NOW. Kumpulan itu turut mencuri perhatian peminat global menerusi projek bermusim seperti Samidare (五月雨), Aoarashi (青岚) dan Yukiakari (雪明かり), selain menerima pujian meluas menerusi album mini debut Korea mereka, Back to Life.

Populariti mereka terus melonjak apabila album Go in Blind dan Back to Life mencatat jualan memberangsangkan sehingga melepasi angka sejuta unit. Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik global yang semakin kompetitif.

Malah, &TEAM turut membuktikan kehebatan mereka di pentas muzik Korea apabila meraih kemenangan tempat pertama dalam beberapa program muzik popular termasuk Music Bank, Show Champion dan THE SHOW menerusi lagu hit Back to Life.

Sebagai penghargaan kepada sokongan berterusan peminat, kumpulan itu tampil dengan album mini ketiga berjudul We on Fire yang dilancarkan pada 21 April lalu. Lagu utamanya pantas menjadi fenomena dan sekali lagi menghadiahkan kemenangan kepada kumpulan itu dalam program Show Champion.

Pelancaran album terbabit turut menandakan bermulanya era baharu buat &TEAM yang kini sedang menjayakan jelajah konsert 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ di beberapa destinasi utama.

Bagi peminat di Malaysia, konsert anjuran IMe Malaysia yang bakal berlangsung di Idea Live Arena dijangka menawarkan pengalaman yang bukan sekadar persembahan muzik biasa. Dengan elemen penceritaan mendalam, visual bertaraf dunia, koreografi yang kemas serta produksi pentas berskala besar, peminat dijangka disajikan dengan sebuah persembahan yang penuh emosi dan tenaga.

Kehadiran kesemua sembilan anggota di atas pentas juga dijangka menjadi tarikan utama, terutama buat LUNÉ Malaysia yang selama ini hanya mengikuti perkembangan mereka menerusi platform digital dan persembahan antarabangsa.

Tiket konsert akan dijual pada harga bermula RM398 sehingga RM898 mengikut kategori tempat duduk dan berdiri. Pakej VIP pula didatangkan dengan pelbagai keistimewaan termasuk akses ke sesi soundcheck eksklusif, lanyard serta laminate khas dan set kad foto rasmi.

Ahli LUNÉ Membership yang berdaftar menerusi Weverse akan menikmati akses pra-jualan eksklusif pada 18 Jun ini sebelum jualan umum dibuka pada 19 Jun.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page