May 14, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nasyid Friday Mahu ‘Takluk’ Jiwa Anak Muda Setiap Jumaat

Spread the love

Kredit Foto: Subky Hj Bebit

Dalam lambakan kandungan hiburan yang memenuhi media sosial setiap hari, Adnin Roslan memilih pendekatan berbeza apabila menjadikan hari Jumaat sebagai ‘nadi’ utama projek dakwah muzik terbaharu mereka, Nasyid Friday.

Bagi pengasas Tarbiah Sentap itu, pemilihan hari Jumaat bukan sekadar strategi penerbitan mingguan, tetapi mempunyai nilai simbolik dan spiritual yang besar dalam Islam.

Menurutnya, Jumaat adalah penghulu segala hari dan menjadi waktu terbaik untuk menyampaikan karya yang mampu membawa ketenangan, refleksi diri serta mendekatkan masyarakat kepada nilai agama melalui medium seni.

“Kami sengaja memilih hari Jumaat kerana ia hari yang sangat dekat dengan jiwa umat Islam. Pada hari itu, hati manusia biasanya lebih lembut, lebih tenang dan lebih terbuka untuk menerima peringatan”, ujarnya ketika sidang media yang telah berlangsung di Ruang Shah Alam pada 13 Mei lalu.

“Kami mahu setiap Jumaat menjadi ruang untuk orang ramai berhenti seketika daripada kesibukan dunia dan menikmati karya yang membawa mesej positif serta ketenangan,” katanya.

Menerusi projek Nasyid Friday, lapan penyanyi dan kumpulan nasyid tempatan akan tampil menghasilkan karya kerohanian bersama video muzik moden bermula Jun 2026 hingga Januari 2027.

Antara yang terbabit ialah Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth serta Autotune Band.

Adnin berkata, dalam era media sosial dan hiburan digital hari ini, dakwah juga perlu bergerak mengikut cara generasi muda menikmati kandungan.

Katanya, anak muda kini lebih dekat dengan muzik, video pendek dan visual kreatif, justeru pendekatan dakwah perlu tampil lebih segar tanpa menghilangkan mesej utama.

“Kalau hiburan boleh memenuhi garis masa media sosial setiap hari, kenapa dakwah tidak boleh hadir dengan cara yang sama?

“Kami mahu orang menunggu hari Jumaat bukan hanya kerana cuti hujung minggu semakin dekat, tetapi kerana ada karya yang boleh menyentuh hati mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, pemilihan Jumaat juga diharap mampu membina satu budaya baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda untuk menjadikan hari berkenaan lebih bermakna dengan pengisian positif.

“Bila orang dengar lagu atau menonton video ini pada hari Jumaat, kami harap ia menjadi asbab mereka mengingati Allah walaupun hanya beberapa minit,” katanya.

Dalam masa sama, projek berkenaan turut membawa misi menghidupkan semula industri nasyid yang pernah menjadi fenomena besar suatu ketika dahulu.

Bagi wakil kumpulan Rabithah, Ridwan, konsep memilih hari Jumaat juga memberi kekuatan emosi kepada setiap karya yang dihasilkan.

“Karya ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha menyampaikan mesej Islam dengan cara yang lembut dan menyentuh hati. Hari Jumaat menjadikan mesej itu terasa lebih dekat,” katanya.

Selain projek muzik, Tarbiah Sentap turut merancang menghasilkan kira-kira 200 kandungan dakwah setiap bulan termasuk video media sosial, sketsa dakwah, penerbitan buku dan jelajah dakwah di seluruh negara.

Lebih menarik, projek itu turut menampilkan artis jemputan seperti Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari dalam beberapa album yang kini masih di peringkat produksi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page