May 13, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

KL Street Arts Festival 2026 Sasar 20,000 Pengunjung, Seni Jalanan Ambil Alih Jantung Ibu Kota Jun Ini

Spread the love

Kredit Foto: MegatzReview

Penganjur KL Street Arts Festival 2026 menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang festival berlangsung pada 20 Jun depan, Jalan Raja di Dataran Merdeka bakal bertukar menjadi medan seni urban terbesar.

Bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 11 malam, festival yang berlangsung dengan kerjasama program KL Street Jam itu bukan sekadar acara hiburan biasa, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan budaya jalanan, kreativiti anak muda dan denyut seni alternatif tempatan yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Dengan latar ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka, festival ini dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan usia yang mahu menikmati pengalaman seni jalanan secara lebih dekat dan terbuka.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang acara termasuk seni visual, persembahan buskers, penghibur jalanan, gerai kraftangan, aktiviti interaktif seni urban serta sesi perkongsian kreatif bersama penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

Lebih menarik, suasana malam bakal dihangatkan menerusi persembahan khas KL Street Jam yang menampilkan nama-nama yang cukup sinonim dengan budaya muzik jalanan dan alternatif seperti Baba Andy, Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza’s Velvettones serta DBKL Cultural Artists & Combo.

Festival ini turut membuka ruang ilmu menerusi seminar dan bengkel kreatif yang menampilkan artis kaligrafi dari Mesir, Cheb Ali, penggiat seni badut terkenal tempatan Mr Labu serta Yosh Studio yang akan berkongsi seni origami kepada pengunjung.

Pengarah program festival, Ahmad Abdullah berkata, KL Street Arts Festival 2026 diwujudkan sebagai platform untuk menyatukan komuniti seni jalanan yang selama ini bergerak secara mandiri. Selain itu ianya juga merupakan platform penting untuk memberi ruang kepada penggiat seni jalanan menampilkan bakat mereka secara lebih tersusun dan profesional.

“Selama ini ramai penggiat seni jalanan bergerak sendiri-sendiri. Jadi menerusi KL Street Arts Festival ini, kami mahu satukan mereka dalam satu platform yang bukan saja meraikan seni, tetapi turut membuka peluang ekonomi dan jaringan kreatif”, ujarnya ketika sidang media yang telah berlangsung di KL Traders Square pada 12 Mei lalu.

“Kita mahu masyarakat melihat bahawa seni jalanan bukan sekadar hiburan tepi jalan, sebaliknya ia mempunyai nilai budaya, identiti dan kreativiti yang besar dalam membentuk wajah bandar raya moden,” katanya.

Menurut Ahmad, pemilihan Dataran Merdeka juga cukup simbolik kerana lokasi berkenaan mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.

“Apabila seni urban dibawa ke tengah kota, ia memberi mesej bahawa seni itu milik semua orang. Kami mahu Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar yang hidup dengan budaya kreatif dan mesra komuniti seni,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez turut melihat festival seumpama itu sebagai platform penting dalam memperkukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar seni dan budaya yang aktif.

Menurutnya, acara kreatif berskala besar bukan sahaja memberi ruang kepada penggiat seni berkarya, malah membantu merancakkan ekonomi bandar serta industri pelancongan negara.

“Festival bukan sekadar acara hiburan atau budaya semata-mata, tetapi ia juga menjadi penggerak ekonomi yang menghidupkan pusat bandar, mengaktifkan ruang awam dan menarik orang ramai kembali ke tengah kota,” katanya.

Freddie berkata, penganjuran festival seni urban juga mampu memberi signal positif kepada pelancong luar bahawa Kuala Lumpur memiliki komuniti kreatif yang aktif dan progresif.

“Kita mahu bandar raya ini dikenali bukan sahaja kerana pembangunan fizikalnya, tetapi kerana kehidupan seni dan budaya yang hidup di jalanannya,” katanya.

Dalam masa sama, festival berkenaan turut membawa mesej sosial menerusi kerjasama bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan melaksanakan kempen “Music Without Drugs”.

Kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah melalui pendekatan seni dan muzik yang lebih dekat dengan jiwa generasi hari ini.

Selain persembahan dan aktiviti seni, hampir 20 pempamer tempatan turut mengambil bahagian menjual hasil kraftangan, produk kreatif dan karya seni buatan tangan sepanjang festival berlangsung.

Penganjuran festival itu juga mendapat sokongan Yayasan Hasanah menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS), sebuah platform yang membantu memperkukuhkan pembangunan seni, budaya dan warisan tempatan.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival yang dibuka secara percuma itu sambil menikmati sendiri pengalaman seni jalanan yang bakal mengubah wajah ibu kota untuk sehari.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page