Selepas 15 Tahun Terpendam, Nourul Akhirnya ‘Lepaskan’ Andai Ku Kenali Ku
Ada sebab mengapa sesebuah lagu tidak terus diterbitkan walaupun sudah lama siap dirakam. Kadangkala, sesebuah karya perlu menunggu pemiliknya benar-benar bersedia untuk ‘bercerita’.
Itulah yang berlaku kepada Nourul Depp apabila akhirnya memilih untuk melancarkan semula lagu Andai Ku Kenali Ku selepas hampir 15 tahun tersimpan tanpa pernah benar-benar diperkenalkan kepada umum.
Lagu ciptaan Yasin Sulaiman bersama lirik nukilan Eena Houzyama itu sebenarnya sudah dihasilkan sekitar tahun 2008 hingga 2009. Namun ketika itu, Nourul mengakui dirinya belum cukup ‘dekat’ dengan lagu tersebut.
Hari ini, selepas melalui pelbagai fasa kehidupan termasuk meninggalkan seketika dunia glamor, membina keluarga dan mencari makna sebenar kehidupan, penyanyi berusia 48 tahun itu merasakan Andai Ku Kenali Ku akhirnya menemukan waktu yang tepat untuk dilahirkan semula.
“Kadang-kadang kita perlu hilang seketika untuk benar-benar mengenali siapa diri kita. Lagu ini sangat dekat dengan perjalanan hidup saya sendiri. Ia tentang luka, kehilangan, penerimaan dan keberanian untuk bangkit semula,” katanya.
Single tersebut kini tampil dengan susunan muzik baharu hasil sentuhan Eddie Slam yang memberi dimensi lebih segar tetapi masih mengekalkan emosi asal karya berkenaan.

Menurut Nourul, lagu itu bukan sekadar sebuah comeback, sebaliknya menjadi simbol kepada perjalanan dirinya yang kini lebih matang dan tenang.
“Setelah bertahun-tahun menyimpan rasa, karya ini hadir sebagai suara baharu yang lebih jujur dan tulus. Saya kembali bukan kerana mahu mengejar populariti, tetapi kerana muzik sentiasa menjadi tempat saya meluahkan apa yang terbuku dalam hati,” katanya.
Apa yang menjadikan pelancaran semula lagu itu lebih istimewa apabila Nourul memilih untuk menjadikan konsert solo sulungnya, For You Nourul, sebagai medan rasmi memperkenalkan karya tersebut kepada peminat.
Lebih menarik, muzik video rasmi Andai Ku Kenali Ku juga tidak akan dirakam secara biasa. Sebaliknya, ia bakal dirakam secara langsung ketika konsert berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.
“Kami lancarkan versi audio terlebih dahulu kerana saya mahu muzik video lagu ini dirakam bersama peminat sewaktu konsert. Saya mahu momen itu menjadi sejarah yang kekal untuk saya dan mereka,” katanya.
Single Andai Ku Kenali Ku mula dilancarkan di saluran YouTube rasmi Nourul Depp bermula 13 Mei 2026 jam 9 malam.
Malah menerusi kerjasama bersama Kool FM sebagai radio rasmi konsert, lagu tersebut turut diperdengarkan buat pertama kali di stesen berkenaan pada hari sama jam 9 pagi.

Bagi Nourul, daripada sekian banyak lagu yang pernah berada dalam simpanannya, Andai Ku Kenali Ku menjadi karya paling tepat untuk memperkenalkan semula dirinya kepada dunia muzik.
“Pada malam For You Nourul, saya mahu peminat melihat siapa diri saya yang sebenar selepas semua perjalanan hidup ini,” katanya.
Konsert For You Nourul turut menampilkan Mimi Fly sebagai artis undangan dan akan berlangsung pada 30 Mei 2026 bermula jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket boleh didapati menerusi Ticket2U.
