May 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kenny G Kembali Gegar Genting, Janji Malam Penuh Romantis Julai Ini

Spread the love

Legenda saksofon dunia, Kenny G bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert eksklusif “King of Saxophone” Kenny G 2026 World Tour in Malaysia yang dijadual berlangsung di Arena of Stars pada 12 Julai 2026, jam 6 petang.

Persembahan anjuran Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment itu dijangka menjadi antara konsert jazz paling dinanti tahun ini, khususnya buat peminat muzik instrumental romantik yang cukup sinonim dengan figura ikonik berusia 69 tahun itu.

Nama Kenny G bukan asing dalam dunia muzik antarabangsa. Selama lebih empat dekad, beliau berjaya mencipta pengaruh tersendiri menerusi alunan saksofon yang cukup lembut dan emosional menerusi karya malar segar seperti Songbird, Forever in Love dan Silhouette.

Dengan jualan melebihi 75 juta album di seluruh dunia, Kenny G kekal sebagai antara pemuzik instrumental paling laris dalam sejarah industri muzik global.

Sepanjang kariernya juga, beliau pernah bekerjasama dengan ramai bintang ternama dunia termasuk Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West, The Weeknd dan Charlie Puth.

Menariknya, Kenny G juga pernah menjadi perhatian dunia menerusi dokumentari Listening to Kenny G selain memegang rekod dunia bagi note berterusan paling panjang untuk note E-flat selama hampir 46 minit.

Kepulangan beliau ke Malaysia kali ini dijangka menghadirkan pengalaman persembahan yang cukup eksklusif dengan gabungan elemen nostalgia, romantik dan produksi pentas elegan bertaraf antarabangsa.

Setiap alunan saksofon yang dibawa Kenny G sering dianggap mampu mencipta suasana intim dan menyentuh emosi, menjadikan konsert ini pilihan ideal buat pasangan mahupun pencinta muzik jazz sejati.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi MAISEAT dan Resorts World Genting dengan harga RM668 (VIP), RM558 (PS1), RM458 (PS2), RM358 (PS3) dan RM258 (PS4).

Untuk perkembangan terkini, peminat juga boleh mengikuti Everbeat Entertainment di Facebook serta @everbeat_entertainment di Instagram.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page