April 20, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Plot Twist Gila! Kahwin Dengan Bapa Ex Demi Balas Dendam, ‘Dendam Seorang Mentua’ Memang Padu Habis!

Spread the love

Astro terus menghangatkan arena drama tempatan apabila tampil dengan naskhah baharu berjudul Dendam Seorang Mentua, sebuah drama sarat konflik, dendam dan permainan emosi yang dijangka buat penonton ‘melekat’ depan televisyen.

Drama terbitan MiG (Metrowealth International Group) itu bakal menemui penonton bermula 4 Mei 2026, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang menerusi Astro Prima.

Mengangkat tema balas dendam dalam institusi keluarga, drama ini membawa jalan cerita luar kotak apabila seorang wanita nekad mengahwini bapa bekas kekasihnya sendiri demi menuntut keadilan.

Naskhah arahan Feroz Kader ini berkisar tentang Sofia, wanita yang hidupnya musnah selepas dikhianati dua insan paling rapat dengannya iaitu kekasih sendiri, Hariz dan sahabat baiknya, Harlina.

Akibat konspirasi mereka, Sofia dipenjarakan atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya.

Selepas dibebaskan, Sofia kembali dengan hati penuh bara. Lebih menyakitkan, Hariz kini sudah berkahwin dengan Harlina, wanita yang menjadi punca kejatuhannya.

Namun Sofia bukan lagi wanita lemah seperti dahulu. Dengan satu rancangan licik, dia mendekati Datuk Muzaffar, ahli perniagaan berpengaruh yang juga bapa kepada Hariz sebelum bersetuju menjadi isterinya.

Tindakan itu sekali gus menjadikan Sofia mentua baharu kepada lelaki yang pernah menghancurkan hidupnya.

Drama ini turut mencuri perhatian apabila menampilkan Tracie Sinidol buat pertama kali dalam slot Tiara Astro menerusi watak utama Sofia.

Karakter wanita lembut namun menyimpan dendam membara itu dilihat mampu menyerlahkan sisi lakonan Tracie yang lebih matang dan beremosi.

Turut membintangi drama ini adalah Chacha Maembong sebagai Harlina, Hariz Hamdan sebagai Hariz, Dato’ Aaron Aziz sebagai Karl, Datuk Yusry Abdul Halim sebagai Datuk Muzaffar dan Intan Ladyana sebagai Yasmin

Gabungan pelakon berpengalaman dan muka baharu itu dijangka memberi impak besar kepada jalan cerita.

Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, berkata kejayaan dua siri terdahulu mendorong pihaknya meneruskan francais berkenaan dengan idea lebih segar dan berani.

Katanya, penonton hari ini semakin bijak serta dahagakan naskhah yang berbeza daripada kebiasaan.

“Melalui Dendam Seorang Mentua, kami tampilkan konflik kekeluargaan yang lebih kompleks dan mencabar, namun masih dekat dengan realiti emosi penonton,” katanya.

Apa yang bermula sebagai misi membalas dendam akhirnya bertukar menjadi perang kuasa dalam keluarga elit. Sofia kini bukan lagi mangsa, sebaliknya ancaman paling besar buat Hariz dan Harlina. Persoalannya, sejauh mana seorang wanita sanggup pergi demi membalas segala luka silam?


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page