OSIM Lancar uDream.AI – Kerusi ‘Pintar’ Yang Boleh Baca Tahap Stres Dalam 20 Minit
Gabung AI, Urutan Global Dan Sensori Premium, Janji Rawat Badan & Minda Tanpa Perlu Keluar Rumah
Bayangkan balik kerja, badan penat, kepala berserabut tapi tak perlu lagi ke spa atau pusat urut. Hanya duduk, dan “kerusi pintar” ini buat kerja membaca stres anda dalam masa sekitar 20 minit.
Itu yang cuba dibawa oleh OSIM Malaysia menerusi pelancaran uDream.AI, kerusi kesejahteraan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang didakwa pertama seumpamanya di dunia.
Bukan sekadar kerusi urut biasa, produk ini tampil dengan teknologi AI Wellness yang mampu menganalisis keadaan tubuh pengguna sebelum sesi bermula sekali gus menetapkan program pemulihan mengikut tahap tekanan masing-masing.

Melalui kerjasama teknologi Binah.ai, sistem berkenaan menggunakan kamera telefon pintar untuk mengesan beberapa indikator kesihatan hanya dalam beberapa saat.
Antaranya termasuk kadar degupan jantung, pernafasan, tekanan darah, tahap oksigen dalam darah serta tahap stres sebelum menghasilkan skor individu yang menjadi asas kepada sesi urutan.
Hasilnya, setiap pengguna tidak lagi menerima rawatan “umum”, sebaliknya pengalaman yang lebih khusus, disesuaikan dan dikatakan lebih berkesan.
Lebih menarik, uDream.AI turut menggabungkan teknik urutan antarabangsa hasil kepakaran dari Thailand, China dan Jepun sekaligus memberi pengalaman yang digambarkan seperti sentuhan terapis profesional.

Teknik ini bukan sahaja membantu melegakan ketegangan otot, malah dipercayai melancarkan peredaran darah serta membantu pemulihan badan selepas hari yang panjang dan meletihkan.
Tidak berhenti di situ, OSIM turut menambah elemen sensori penuh bagi menaikkan pengalaman relaksasi ke tahap lebih premium.
Kerusi ini dilengkapi pencahayaan suasana (mood lighting), sistem audio premium oleh Devialet, aromaterapi hasil kolaborasi dsm-firmenich serta teh eksklusif TWG Tea yang melengkapkan sesi “rehat moden” tersebut.
Secara visual, rekaannya juga bukan biasa-biasa. uDream.AI diinspirasikan daripada bentuk Chambered Nautilus simbol keseimbangan dan harmoni dengan struktur seperti kepompong yang memberi privasi dan rasa “terasing dari dunia luar” ketika sesi berlangsung.
Rekaan itu turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Red Dot Award 2026, sekali gus mengangkat lagi imejnya sebagai produk premium.
Dalam pada itu, OSIM Malaysia menegaskan inovasi ini adalah jawapan kepada gaya hidup moden yang semakin menekan, apabila ramai tidak lagi mempunyai masa untuk rawatan diri yang panjang.

“Hari ini, orang ramai bukan hanya mahu rehat, tetapi mahukan cara yang lebih cepat dan berkesan untuk pulihkan badan dan minda. Dengan uDream.AI, kami ingin membawa pengalaman pemulihan yang lebih pintar dan sesuai dengan gaya hidup moden,” kata Pengurus Besar OSIM Malaysia, Chia Sook Fun.
Dengan pelancaran ini, OSIM dilihat terus agresif memperkukuh segmen kesejahteraan pintar menjadikan “rehat” bukan lagi kemewahan, tetapi satu sistem yang boleh diaktifkan bila-bila masa di rumah.
