Hi Tea Hari Malaysia Sudah 90 Peratus Terjual

Gabungan Khadijah Ibrahim, Hairee KOOL Dan Fredo Flybaits Bakal Hidupkan Nostalgia 16 September Ini
Kredit Foto: Fendi Ghaffar
Belum pun tiba hari berlangsung, tiket HI TEA Hari Malaysia yang menampilkan barisan penyanyi berpengalaman termasuk Dato’ Khadijah Ibrahim, Hairee KOOL dan Fredo Flybaits sudah mencecah 90 peratus jualan.
Penganjuran yang menggabungkan hidangan hi tea bersama persembahan muzik itu dijadualkan berlangsung di Steg Hotel Kuala Lumpur pada 16 September ini, dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
Khadijah berkata, sambutan yang diterima membuktikan karya dan nama artis terdahulu masih mempunyai tempat dalam hati peminat, selain menjadi peluang untuk memperkenalkan mereka kepada generasi baharu.
“Kita mahu buktikan artis-artis lama masih ada tempat. Jangan sampai generasi baharu tidak tahu siapa penyanyi yang pernah menghasilkan lagu popular suatu ketika dahulu.
“Lagu lama mungkin tidak banyak, tetapi identiti penyanyi sangat kuat. Bila baru buka suara, orang sudah tahu siapa penyanyinya,” katanya ketika ditemui pada sidang media HI TEA Hari Malaysia di Naan Corner Restaurant, Steg Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Khadijah, acara berkenaan bukan sekadar menawarkan hiburan, sebaliknya mahu mewujudkan pengalaman santai yang menggabungkan hidangan, muzik dan nostalgia dalam satu majlis.
Katanya, konsep persembahan juga disusun mengikut keselesaan tetamu yang hadir menikmati hidangan hi tea.
“Bila tetamu sudah menikmati pencuci mulut, itu masa yang lebih sesuai untuk kita mulakan persembahan.
“Kalau mereka masih mahu duduk dan menikmati persembahan, kita teruskan. Ini sebahagian daripada nilai yang kita berikan kepada tetamu yang membayar sekitar RM39.90,” katanya.
Bagi memastikan segmen persembahan menjadi kemuncak acara, Khadijah berkata persiapannya hampir lengkap termasuk membabitkan penyanyi latar, manakala bahagian penutup masih diperincikan bersama Fredo Flybaits.
Katanya, beliau bakal berduet bersama Fredo menerusi lagu Doa Buat Kekasih, selain sebuah lagi lagu Fredo yang akan dipersembahkan secara beramai-ramai.
“Saya mahu penutup itu menjadi momen yang istimewa. Kita mahu tetamu bukan sekadar datang makan, tetapi turut membawa pulang satu kenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Hairee KOOL yang turut terbabit dalam acara itu berkata beberapa lagu lamanya masih dikenali sehingga kini, termasuk Satu Wajah Suatu Kisah ciptaan Allahyarham Rahim Othman dengan lirik Habsah Hassan.
Malah, katanya, lagu daripada album solonya yang diterbitkan sekitar 1989 masih mendapat sambutan di Brunei.
“Saya pernah terdengar pemuzik jalanan memainkan lagu saya di lapangan terbang. Saya datang bukan untuk beri wang, tetapi mahu tahu dari mana dia mengenali lagu itu.
“Dia kata selalu dengar di radio. Itu membuatkan saya bersyukur kerana lagu lama masih dimainkan dan dikenali,” katanya.
Sementara itu, Khadijah berkata persembahan Hairee KOOL akan dibawakan dalam konsep lebih santai dan sesuai dengan suasana hi tea.
Katanya, faktor usia juga perlu diambil kira dan persembahan tidak semestinya memerlukan pergerakan agresif.
“Konsep yang lebih santai dan cool lebih sesuai. Kalau perlu, kita boleh gunakan penari tambahan supaya ahli kumpulan tidak perlu terlalu banyak bergerak.
“Yang penting, kita hidupkan semula nama-nama artis lama dan beri peluang kepada mereka untuk dikenali semula,” katanya.
Selain Khadijah, Hairee KOOL dan Fredo Flybaits, majlis turut dikendalikan pelakon dan pengacara, Norish Karman.

HI TEA Hari Malaysia anjuran Naan Corner Restaurant 1983 itu menawarkan tiket pada harga RM39.90 bagi dewasa, manakala RM29.90 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dan warga emas.
Dengan jualan tiket kini sudah mencecah 90 peratus, peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati pengalaman hi tea sambil menyaksikan persembahan tiga nama yang mempunyai sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air.
