Dongker Jadikan Kesedihan ‘Akar’ Melankolia Radikal

Album kedua kumpulan punk Bandung tampil dengan 11 lagu yang merakam kecewa, marah dan keresahan anak muda terhadap realiti kehidupan
JIKA nama Dongker masih asing bagi sebahagian peminat muzik di Malaysia, jangan terlalu cepat menganggap mereka sekadar satu lagi kumpulan punk dari Indonesia.
Berasal dari Bandung, Indonesia, Dongker muncul daripada lingkungan mahasiswa Fakulti Seni Rupa dan Reka Bentuk (FSRD), Institut Teknologi Bandung (ITB) pada 2019.
Dianggotai Arno Zarror (vokal/gitar), Delpi Suhariyanto (gitar/vokal) dan Dzikrie J. Arethusa (dram), kumpulan itu membina identiti menerusi gabungan muzik punk yang mentah, tenaga persembahan yang agresif serta pendekatan visual yang kuat.
Mereka mula mendapat perhatian lebih luas menerusi lagu Bertaruh Pada Api sebelum meneruskan perjalanan dengan album sulung Ceriwis Necis pada 2024.
Tidak sekadar berhenti pada muzik, Dongker juga terkenal dengan kecenderungan menggabungkan seni visual dan persoalan sosial dalam karya mereka.
Malah, pendekatan berkenaan terus berkembang apabila mereka menghasilkan album kolaborasi bersama pemuzik Indonesia, Jason Ranti, menerusi I Don’t Know and I Dongker pada 2025. Album itu memperlihatkan pertembungan muzik punk Dongker dengan pendekatan muzik Jason, selain mengangkat persoalan mengenai kehidupan dan romantisme kota Bandung.
Kini, Dongker kembali dengan karya yang jauh lebih gelap dan introspektif menerusi album kedua mereka, Melankolia Radikal. Menariknya, album itu tidak menjadikan kesedihan sebagai sesuatu yang perlu disembunyikan atau segera dilupakan.
Sebaliknya, Dongker memilih untuk menyelami kesedihan, membongkar puncanya dan melihat bagaimana emosi itu boleh tumbuh sehingga berakar dalam diri seseorang.
Bagi pemain dramnya, Dzikrie J. Arethusa, kesedihan yang dirakam dalam album berkenaan bukan semata-mata pengalaman individu, sebaliknya sesuatu yang boleh dikongsi oleh masyarakat.
“Apabila sekumpulan manusia diletakkan dalam keadaan yang sama, ada peluang sesuatu perasaan itu tumbuh bersama, dialami dan dirasai secara kolektif.
“Melankolia Radikal adalah himpunan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang saya rasakan kebelakangan ini turut dialami masyarakat secara bersama sebagai reaksi terhadap ruang yang melingkari mereka iaitu negara,” katanya.
Bagi Arno pula, kesedihan mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupan manusia.
“Kesedihan adalah perasaan yang kadangkala kita tidak mahukan, tetapi pada masa tertentu kita perlukan. Emosi paling jujur kadangkala muncul ketika kita sedang bersedih. Realitinya hari ini, ramai orang bersedih tetapi menyembunyikannya. Sepanjang proses menghasilkan album ini, kami belajar banyak perkara mengenai cara untuk terus bertahan,” katanya.
Justeru, Melankolia Radikal bukan sekadar himpunan lagu tentang patah hati atau kemurungan peribadi. Sebaliknya, ia cuba melihat kesedihan daripada perspektif lebih besar iaitu hubungan manusia, keluarga, alam sekitar, kehidupan sosial, negara dan sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri.

Secara etimologi, melankolia berasal daripada perkataan Greek melancholia, yang suatu ketika dahulu dikaitkan dengan keadaan fikiran yang murung. Sementara radikal pula berasal daripada perkataan Latin radix, yang membawa maksud akar.
Apabila dua perkataan itu digabungkan, Dongker memberikan tafsiran mereka sendiri iaitu kesedihan yang sudah berakar. Konsep itu diterjemahkan menerusi 11 lagu yang membentuk landskap emosi album berkenaan.
Ia dibuka dengan Selamat Malam Tuhan, diikuti Kukubur Trauma, Metafora Berpelukan, Takbir Terdengar Kejam dan Nir Imajinasi yang menampilkan Cholil Mahmud daripada Efek Rumah Kaca.
Turut dimuatkan ialah Nyaris Sempurna, Sedikit Cacat, Kisah Sedih Kontemporer yang menjadi lagu fokus, Lautan Bunga Berwarna Terang, Penyesalan > Kelahiran, Lamunan Ringan di Singapura bersama Banda Neira dan Lagu Selepas Hujan.
Kehadiran Cholil Mahmud dan Banda Neira pula memberikan dimensi tambahan kepada perjalanan muzik Dongker, sekali gus memperluaskan warna bunyi serta cerita yang mahu disampaikan.
Apa yang menjadikan Melankolia Radikal menarik ialah keberanian Dongker menjadikan kegelisahan sebagai bahan utama karya. Perjalanan album itu sendiri bermula menerusi showcase Melankolia di Kolong yang berlangsung di Taman Skateboard, di bawah jejambat Prof. Dr. Mochtar Kusumaatmadja (Pasupati) di Bandung.
Semangat DIY yang sinonim dengan budaya punk kemudian diteruskan apabila mereka mengadakan persembahan di bawah sebuah jambatan di Yogyakarta di hadapan kira-kira 4,000 penonton.
Pada penghujung acara Melankolia di Jogja, Dongker mendedahkan karya seni album itu kepada khalayak. Elemen visual juga bukan perkara sampingan bagi kumpulan yang lahir daripada dunia seni rupa ini.
Karya seni muka depan Melankolia Radikal menjadi interpretasi terhadap karya terkenal Agan Harahap, I Was Punk Before You, yang menampilkan foto Joko Widodo dalam penampilan punk.
Dongker turut memperkenalkan maskot baharu mereka yang diberi nama ‘Dollar’. Namun, Dollar bukan merujuk kepada mata wang. Ia menjadi satu lagi tafsiran terhadap kesedihan yang menjadi nadi album berkenaan, sebelum watak itu diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti figura aksi, kostum boneka dan rantai kunci.
Menurut Delpi Suhariyanto, karya seni itu cuba menggambarkan realiti kehidupan moden yang semakin kabur akibat lambakan maklumat dan teknologi.
“Realiti kita hari ini dikaburkan oleh pelbagai perkara seperti internet, kecerdasan buatan (AI), maklumat yang disekat pihak berkuasa dan kenyataan mengarut daripada pegawai awam. Kami merasakan karya seni muka depan album ini dapat menangkap fenomena tersebut,” katanya.
Lebih daripada persoalan peribadi, Delpi melihat Melankolia Radikal sebagai cerminan keresahan yang berlaku dalam masyarakat.

“Kami merasakan rasa jijik dan kegilaan yang sama dalam ruang peribadi masing-masing. Rumah tangga yang rosak, hubungan yang tidak pernah berhasil dan cukai yang semakin tidak masuk akal.
“Mungkin ini bukan gambaran yang sempurna, tetapi Melankolia Radikal dihasilkan dengan kesedaran penuh sebagai rakyat Indonesia yang merasakan negara gagal berdiri bersama rakyatnya,” katanya.
Sejak awal kemunculan, kumpulan itu menggunakan muzik sebagai ruang untuk menggabungkan pengalaman peribadi dengan persoalan sosial yang lebih besar. Lagu mereka juga pernah menyentuh isu seperti penggusuran, hubungan toksik dan realiti kehidupan masyarakat bandar.
Sebab itu, Melankolia Radikal boleh dilihat sebagai kesinambungan daripada identiti Dongker garapan punk sebagai bunyi, seni sebagai bahasa visual dan keresahan sebagai bahan bakar.
Buat peminat Malaysia yang baru mahu mengenali Dongker, album ini mungkin menjadi pintu masuk terbaik untuk memahami mengapa nama mereka semakin mendapat perhatian dalam kancah muzik bebas Indonesia.
Kerana bagi Dongker, kesedihan bukan kelemahan. Ia mungkin sesuatu yang menyakitkan, tetapi dalam kesakitan itulah mereka menemukan cerita, kemarahan, kejujuran dan akhirnya, cara untuk terus bertahan.
Melankolia Radikal kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman muzik digital
