13 Juta Penstriman! Rocketfuel ‘Meletup’ Dengan Lagu Raya, Bintang Baharu Terus Menyala
Rocketfuel Entertainment terus membuktikan pengaruhnya dalam industri hiburan tempatan apabila kempen Aidilfitri Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment mencatat kejayaan luar biasa dengan jumlah penstriman melebihi 13 juta secara keseluruhan.
Pencapaian itu sekali gus mengesahkan karya terbitan syarikat berkenaan terus mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi antara pilihan utama sepanjang musim perayaan lalu.
Antara lagu yang mencetus fenomena termasuk Rindu Raya nyanyian ALPHA, Kampung Kita (Wani Kayrie), Raya Macam Raya hasil gandingan Hael Husaini dan ALPHA, serta Duit Raya nyanyian Sharul Kamal bersama Mierul Aiman.


Kejayaan itu juga menjadi bukti Rocketfuel bukan sekadar tampil dengan lagu bermusim, sebaliknya berjaya menghasilkan karya yang dekat dengan jiwa masyarakat dan mesra halwa telinga.
Tidak mahu hanya selesa dengan kejayaan raya, Rocketfuel kini terus menyusun langkah agresif dengan pelbagai pelancaran muzik baharu sepanjang tahun ini.
Antara nama yang semakin mencuri perhatian ialah Qal G menerusi single terbaharu Seharusnya Aku. Penyanyi muda itu sebelum ini dikenali sebagai finalis program Big Stage Alpha dan kini bersedia melangkah lebih jauh dalam dunia rakaman.
Seorang lagi peserta program sama, Awienit, juga bakal menghangatkan pasaran apabila dijadual melancarkan single sulungnya tidak lama lagi.

Dalam usaha mengukuhkan jenama di peringkat antarabangsa, Rocketfuel turut mempertaruhkan duo vokal lelaki dari Korea Selatan, HoonDoo yang melancarkan lagu Jejak Yang Tertinggal.
Menariknya, lagu berkenaan dipilih sebagai runut bunyi drama bersiri Dendam Seorang Mentua, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Rocketfuel menembusi pasaran serantau.
Sementara itu, Wani Kayrie kini sibuk membuat persiapan ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40) menerusi lagu viral Cak Cak Cekuk yang meraih jutaan tontonan di YouTube dan platform digital.
Nadeera pula dijangka tampil dengan single baharu berjudul Cuba Jadi Aku pada Jun depan, manakala Hael Husaini bakal muncul dengan kolaborasi istimewa yang dirahsiakan.
Bukan hanya muzik, Rocketfuel turut melebarkan sayap dalam bidang lakonan apabila Mierul Aiman bakal muncul dalam filem Tarung bersama Zul Ariffin.
Selain itu, Fazziq Muqris membintangi filem Kata Hati, Qistina Rania menerusi filem Darah Gagap dan Bella Dowanna pula tampil dalam siri Ate Kome di platform Viu.
Dalam perkembangan lain, syarikat itu turut memperkenalkan atlet bola sepak wanita negara, Qaseh Rania sebagai wajah baharu mereka.

Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand berkata, kejayaan kempen berkenaan membuktikan kekuatan Rocketfuel dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan rakyat serta kekal relevan dalam industri hiburan.
“Ini membuktikan jenama Rocketfuel terus mendapat sokongan ramai dan kami akan terus tampil dengan karya berkualiti serta mengetengahkan lebih ramai bakat baharu,” katanya
Beliau berkata sedemikian sewaktu majlis Macam Macam Raya bersama Rocketfuel Entertainment yang telah berlangsung di JIWA KL Event Space Kuala Lumpur pada 15 April lalu.
