Fattah Amin Dilantik Duta Air Mineral NEX, Seru Gaya Hidup Sihat Bersama Produk Semula Jadi

Aktor, penyanyi dan ikon gaya hidup sihat tanah air, Fattah Amin, kini secara rasmi dilantik sebagai duta jenama air mineral NEX. Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis sidang media penuh simbolik yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 28 Jun lalu.
Pelantikan ini menandakan satu langkah strategik buat NEX dalam meremajakan jenama dan memperkukuh kedudukannya dalam pasaran yang semakin menitikberatkan kesihatan serta bahan semula jadi. Fattah Amin dilihat sebagai personaliti yang tepat aktif, berdedikasi dan mempunyai imej bersih sejajar dengan falsafah dan nilai jenama NEX.
Bercakap kepada media, Fattah meluahkan rasa terharu dan bangga dengan pelantikan tersebut, memandangkan minatnya terhadap gaya hidup sihat sudah lama sebati dalam diri.
“Sebenarnya saya sudah lama teringin nak jadi duta produk air mineral. Produk air mineral ni sangat dekat dengan saya sebab saya memang amalkan gaya hidup sihat, jaga pemakanan dan minum air yang mencukupi,” ujar Fattah.
Menurutnya lagi, keunikan air mineral NEX yang diproses secara semula jadi serta mengandungi mineral penting seperti kalsium dan magnesium, menjadikannya selari dengan prinsip kesihatan yang diamalkan.

“Ini bukan sekadar jadi duta, tapi saya memang percaya pada produk ini dan saya nak sebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan air yang bersih dan sihat dalam kehidupan seharian,” tambahnya.
Sebagai duta jenama, Fattah akan terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif promosi dan aktiviti kesihatan yang dianjurkan NEX. Penampilannya dijangka mampu menarik perhatian terutama dalam kalangan golongan muda, pengguna aktif serta keluarga moden yang semakin cakna terhadap pemilihan produk harian.
Kerjasama ini juga diyakini bakal membentuk satu hubungan emosi yang kukuh antara jenama dan pengguna, serta membina kredibiliti NEX sebagai produk air mineral yang bukan sahaja berkualiti, tetapi turut menyokong gaya hidup lestari dan sihat.
Dengan pelantikan ini, NEX optimis dapat menawan hati lebih ramai pengguna baharu dan mengukuhkan komitmen mereka terhadap pemeliharaan kesihatan melalui air semula jadi yang berkualiti.