Wangian Verlune, Lambang Kasih Sayang Dato’ Jamal
Penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Jamal Abdillah melakar satu lagi pencapaian istimewa apabila berjaya melancarkan minyak wangi hasil rekaannya sendiri, Verlune by Dato’ Jamal, yang dicipta sebagai tanda cinta buat isteri tersayang, Datin Zai Izzati.
Acara pelancaran eksklusif tersebut berlangsung dengan jayanya pada 12 Disember lalu di Slow Wood Coffee, Mont Kiara, Kuala Lumpur, dihadiri seramai 50 tetamu jemputan.
“Saya rasa sangat bersyukur apabila ramai yang sudi hadir meluangkan masa dan memberikan sokongan pada majlis pelancaran Verlune by Dato’ Jamal,” kata beliau dalam ucapannya.
Dato’ Jamal menjelaskan, minyak wangi ini adalah dedikasi tulus dari hatinya buat isteri yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang dalam setiap kejayaannya.
Nama Verlune, yang bermaksud bulan dalam bahasa Perancis, dipilih sebagai simbol ketenangan, kestabilan, dan cahaya yang dilambangkan oleh isterinya dalam kehidupan peribadi dan profesionalnya.
“Bulan mencerminkan ketenangan dan kestabilan yang saya alami di tengah-tengah kerumitan serta ujian dalam kehidupan saya sebagai seorang penyanyi. Bagi saya, bulan itu adalah isteri tercinta saya,” ujarnya penuh kasih.
Verlune by Dato’ Jamal hadir dengan campuran nota bunga dan woody yang mewah, mencerminkan keanggunan dan gaya hidup moden. Produk ini direka khas untuk mereka yang menghargai keunikan dan kemewahan dalam setiap semburan.
Minyak wangi ini dijual pada harga runcit RM198, namun sempena pelancaran, ia ditawarkan pada harga promosi istimewa serendah RM149.
Bagi peminat yang ingin memiliki Verlune by Dato’ Jamal, ia boleh dibeli melalui platform dagangan e-digital, TikTok Shop @lecreateurdesparfum.
Dengan kehadiran produk ini, Dato’ Jamal tidak hanya menyentuh hati peminat dengan alunan suaranya, tetapi juga melalui wangian yang penuh makna, melambangkan cinta sejati dan kejayaan peribadi.