Zee Avi ‘Tawan’ Indonesia

Selepas lebih sedekad mengukuhkan nama di pentas muzik antarabangsa, penyanyi dan penulis lagu kelahiran Sarawak, Zee Avi, kini bersedia membuka lembaran baharu dalam karier seninya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Sony Music Publishing Indonesia.
Langkah itu bukan sekadar memperluaskan pengaruh muziknya di negara jiran, malah dilihat sebagai misi baharu penyanyi yang pernah mencetus fenomena menerusi lagu Bitter Heart untuk terus ‘menawan’ pasaran Indonesia yang selama ini menjadi antara penyokong paling setia karya-karyanya.
Pemenang Best Original Theme Song pada 53rd Taipei Golden Horse Awards menerusi lagu Arena Cahaya daripada filem Ola Bola itu berkata, kerjasama berkenaan hadir pada waktu yang tepat selepas sekian lama menerima sokongan berterusan daripada peminat di Indonesia.
“Selama bertahun-tahun saya bertuah kerana terus menerima sokongan daripada pendengar di Indonesia dan hubungan itu semakin kukuh.
“Indonesia telah memberikan begitu banyak kasih sayang terhadap muzik saya. Sebab itu kerjasama antara kumpulan saya, Zee Avi & The Good Things, dengan Sony Music Publishing Indonesia terasa seperti satu langkah yang sangat semula jadi.
“Mereka membantu memperkenalkan muzik kami kepada khalayak yang lebih luas, pada masa sama memberi ruang untuk kami terus kekal dengan identiti sebagai artis dan penulis lagu,” katanya.

Zee Avi & The Good Things dianggotai oleh Zee selaku vokalis dan komposer, Yuswa Ansari sebagai pemain keyboard serta Raja Farouk sebagai pemain bass.
Menurut penyanyi berusia 40 tahun itu, kerjasama berkenaan bukan hanya membuka peluang mengembangkan pasaran muziknya, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia menerusi pelbagai kolaborasi kreatif.
“Harapan terbesar saya adalah untuk berhubung dengan lebih ramai pendengar, penulis lagu dan artis. Saya berharap kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang pertukaran idea kreatif yang bermakna antara Malaysia dan Indonesia.
“Secara peribadi, saya juga teruja untuk berkembang sebagai penulis lagu menerusi sesi penulisan dan kolaborasi yang telah dirancang oleh Sony Music Publishing Indonesia. Setiap kolaborasi adalah peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya.
Selain memperkenalkan katalog muziknya kepada pendengar Indonesia, Zee mengakui sudah merancang untuk meluangkan lebih banyak masa di republik itu termasuk mengadakan persembahan secara langsung.
“Saya berharap dapat mengadakan lebih banyak persembahan, bertemu peminat, bekerjasama dengan pemuzik tempatan dan menjadi sebahagian daripada komuniti kreatif yang begitu luar biasa di sana.
“Persembahan secara langsung sentiasa menjadi bahagian yang paling saya nikmati sebagai pemuzik. Ketika ini ada beberapa perbincangan sedang berlangsung dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Indonesia,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan pendengar Indonesia terhadap muziknya, Zee percaya persamaan budaya antara kedua-dua negara menjadi faktor penting yang memudahkan karya-karyanya diterima.
“Saya rasa terdapat persamaan yang indah antara pendengar Malaysia dan Indonesia. Kita berkongsi banyak nilai budaya selain menghargai penceritaan dan kejujuran dalam penulisan lagu.
“Walaupun kebanyakan lagu saya menggunakan bahasa Inggeris, emosi tidak memerlukan terjemahan. Jika sesebuah lagu itu lahir daripada kejujuran, saya percaya pendengar akan dapat menghayatinya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Sony Music Publishing Indonesia, Damajanti Ariandini, berkata pihaknya melihat Zee sebagai penulis lagu yang mempunyai pengalaman luas serta rekod cemerlang di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, hasrat Zee untuk bekerjasama dengan penulis lagu Indonesia selari dengan usaha syarikat itu memperluaskan kolaborasi bersama pencipta lagu dan artis dari Malaysia.
“Kami mahu menggalakkan lebih banyak kerjasama rentas negara dengan memanfaatkan persamaan bahasa dan budaya yang rapat antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Pengurus A&R dan Kreatif Sony Music Publishing Indonesia, Ivan Ardihernawan, pula berkata pihaknya sedang merancang mempertemukan Zee dengan beberapa penulis lagu di bawah naungan syarikat itu bagi menghasilkan karya baharu yang bukan sahaja mempunyai nilai artistik tinggi, malah berpotensi mencipta kejayaan komersial di kedua-dua negara.
Sepanjang lebih sedekad berkarya, Zee Avi telah mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemuzik Malaysia paling berjaya di persada antarabangsa. Album sulungnya yang diterbitkan pada 2009 disenaraikan oleh The Associated Press sebagai antara 10 album terbaik tahun itu, selain mencatat jualan melebihi 300,000 unit serta menerima pensijilan emas di beberapa negara Asia.
Namanya turut mendapat perhatian Hollywood apabila lagu Swell Window dipilih sebagai runut bunyi filem 21 Jump Street, selain beberapa karya beliau digunakan dalam kempen pengiklanan antarabangsa termasuk untuk jenama Walmart.
Dengan kerjasama strategik bersama Sony Music Publishing Indonesia ini, Zee Avi kini dilihat bersedia melangkah lebih jauh, bukan sahaja memperkukuhkan pengaruhnya di Indonesia, malah memperluaskan lagi nama Malaysia di pentas muzik serantau dan antarabangsa.
