Gear Nerds Meetup Vol. 2 Perkasa Kelestarian Komuniti ‘Gearheads’ Tempatan

Minat terhadap dunia peralatan muzik atau gear di Malaysia semakin berkembang apabila Gear Nerds Meetup Vol. 2 berjaya menghimpunkan pemain gitar, pemilik studio, jurutera bunyi, pengedar produk serta peminat teknologi audio dalam satu platform yang meraikan perkongsian ilmu dan pembangunan komuniti secara mampan.
Berlangsung di LBS Music World, Ahad lalu, program anjuran NF Venture itu membuktikan komuniti gearheads tempatan kini bukan lagi sekadar aktif di media sosial, sebaliknya semakin dahagakan platform fizikal untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman dan mengikuti perkembangan teknologi muzik secara lebih dekat.
Selepas kejayaan penganjuran sulung di Sarang Keras, Bandar Pusat Jengka, Pahang, Gear Nerds Meetup kembali dengan skala lebih besar menerusi pelbagai aktiviti seperti demonstrasi produk, sesi soal jawab, perkongsian pengalaman serta peluang kepada pengunjung mencuba sendiri pelbagai peralatan muzik digital dan analog.

Tidak seperti pameran muzik konvensional yang lebih berorientasikan jualan, Gear Nerds Meetup tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi penekanan kepada pendidikan komuniti. Pendekatan itu sekali gus menyokong usaha membina ekosistem pembelajaran yang mampan dalam kalangan pemuzik tanpa mengira tahap pengalaman.
Antara sesi yang paling mencuri perhatian ialah perkongsian oleh gitaris legenda Cromok, Shah Sidious, yang memperkenalkan keupayaan Kemper Profiler Stage dalam menghasilkan pelbagai karakter tona gitar tanpa memerlukan penggunaan beberapa amplifier ketika membuat persembahan.

Menurut Shah, kemajuan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada pemuzik, namun pengetahuan terhadap fungsi sesuatu peralatan tetap menjadi faktor utama untuk menghasilkan bunyi yang berkualiti.
“Ramai yang sangka gear mahal akan terus menjadikan bunyi lebih baik. Hakikatnya, kita kena faham bagaimana hendak menggunakan sesuatu peralatan itu mengikut karakter permainan sendiri. Gear hanyalah alat, tetapi sentuhan pemain yang menentukan hasil akhirnya,” katanya.

Turut berkongsi ilmu ialah gitaris Tebabo, Apek, yang mempersembahkan demonstrasi menggunakan NUX MG-50Li. Walaupun berada dalam kategori multi-effects mampu milik, peranti itu berjaya membuktikan kualiti tona dan prestasinya mampu berdiri sebaris dengan produk yang ditawarkan pada harga jauh lebih tinggi.
Menurutnya, kemunculan teknologi digital bukan ancaman kepada pemain lama, sebaliknya peluang untuk pemuzik terus berkembang mengikut peredaran industri.

“Dunia muzik sentiasa berubah. Kalau kita terbuka untuk belajar, kita akan sedar teknologi sekarang sebenarnya memudahkan kerja pemuzik sama ada di studio ataupun ketika membuat persembahan secara langsung,” katanya.
Program itu turut dimeriahkan menerusi demonstrasi daripada ZFX Industries yang memperkenalkan pelbagai pedal efek daripada jenama terkenal sambil berkongsi tip memilih pedal mengikut genre muzik, keperluan persembahan dan bajet pengguna.

Suasana semakin meriah apabila kumpulan rock Tebabo tampil menghiburkan pengunjung menerusi persembahan bertenaga yang menutup acara dalam suasana santai, namun sarat dengan semangat kebersamaan komuniti muzik.
Bagi pihak NF Venture, penganjurnya Deadzid berkata, kejayaan Gear Nerds Meetup tidak diukur berdasarkan jumlah kehadiran semata-mata, tetapi melalui impaknya dalam menyatukan komuniti pemuzik tempatan dan memperkukuh budaya perkongsian ilmu.

“Edisi pertama di Sarang Keras memberi keyakinan kepada kami bahawa komuniti ini benar-benar wujud dan semakin berkembang. Sebab itu kami membawa Gear Nerds Meetup ke Pulau Pinang supaya lebih ramai pemuzik di utara berpeluang menyertainya.
“Ramai pemain gitar dan pemuzik di Malaysia sebenarnya mempunyai minat yang sama terhadap dunia gear, tetapi mereka tidak mempunyai platform untuk berkumpul dan berkongsi ilmu. Sebab itulah Gear Nerds Meetup diwujudkan,” katanya.
Menurut Deadzid, sambutan positif yang diterima dalam dua edisi pertama menjadi pemangkin kepada NF Venture untuk memperluaskan penganjuran Gear Nerds Meetup ke lebih banyak negeri pada masa hadapan.
“Ramai meminta supaya Gear Nerds Meetup dibawa ke lokasi lain. Pulau Pinang menjadi destinasi kedua dan kami amat gembira melihat komuniti di sebelah utara turut memberikan sokongan yang cukup positif.
“Matlamat utama kami bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, tetapi membina ekosistem muzik yang mampan dengan menghubungkan pemain gitar baharu, pemuzik profesional, pemilik studio, pembuat pedal tempatan serta pengedar produk dalam satu komuniti yang saling berkongsi ilmu.
“Sama ada anda baru belajar bermain gitar ataupun sudah berpengalaman bertahun-tahun, semua orang dialu-alukan untuk datang, berkongsi pengalaman dan belajar antara satu sama lain. Itulah semangat sebenar Gear Nerds Meetup,” katanya.

Gear Nerds Meetup Vol. 2 anjuran NF Venture berjaya direalisasikan hasil sokongan Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, ZFX Industries serta LBS Music World selaku penaja lokasi. Kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kelestarian ekosistem muzik tempatan menerusi platform yang berteraskan pendidikan, inovasi dan pembangunan komuniti.
Kejayaan dua edisi pertama membuktikan komuniti pemuzik tempatan bukan sahaja dahagakan persembahan pentas, malah semakin menghargai program yang memberi pendedahan mengenai teknologi audio, inovasi peralatan muzik serta perkembangan dunia gear moden.

Dengan sambutan yang semakin memberangsangkan, Gear Nerds Meetup dilihat berpotensi muncul sebagai antara acara komuniti muzik paling dinantikan setiap tahun. Lebih daripada sekadar medan memperkenalkan produk baharu, ia kini berkembang sebagai platform penting dalam memastikan kelestarian komuniti gearheads dan memperkukuh ekosistem muzik yang mampan di Malaysia, sekali gus menghubungkan pemuzik, pembuat gear tempatan, pengedar produk serta pencinta muzik dalam satu jaringan yang saling menyokong demi masa depan industri muzik negara.
