Karisma Yusry Belum Pudar, Gen Z Kini Ikut Terpikat

Oleh: Adam Kulim
Drama Dendam Seorang Mentua buka lembaran baharu apabila Datuk Yusry Abdul Halim mula mencuri perhatian Generasi Z, sekali gus mengiringi kemunculan semulanya menerusi album solo ‘Eternal’
Zaman berubah, generasi silih berganti, namun karisma Datuk Yusry Abdul Halim nyata masih utuh. Jika suatu ketika dahulu namanya menjadi kegilaan remaja era 1990-an bersama KRU, hari ini figura itu sekali lagi mencipta fenomena apabila berjaya menambat hati kelompok peminat muda atau Generasi Z.
Segalanya bermula selepas kemunculannya menerusi drama Dendam Seorang Mentua yang bukan sahaja mengembalikan namanya ke kaca televisyen, malah memperkenalkan Yusry kepada generasi yang sebelum ini mungkin hanya mengenali namanya sebagai legenda industri hiburan.
Apa yang lebih mencuit hati, ramai penonton muda mula membanjiri media sosial dengan pujian terhadap penampilan, aura dan tahap kecergasannya sehingga ada yang berseloroh menyifatkan Yusry sebagai ‘uncle’ yang masih mempunyai pakej lengkap.
Bagi Yusry, perhatian yang diterima daripada peminat baharu itu bukanlah satu tekanan, sebaliknya dianggap sebagai satu penghargaan yang cukup bermakna selepas lebih tiga dekad bergelar anak seni.

“Saya tak pernah rasa itu satu tekanan. Tapi yang kelakarnya, selepas berlakon drama hari itu, ramai peminat remaja yang baru mula perasan dan cakap, ‘Boleh tahan juga uncle ni!’. Jadi saya rasa gembira. Apabila ada peminat baharu yang boleh menerima saya seadanya, saya sangat bersyukur.”
Menurut Yusry, dia sedar sebagai seorang penghibur, penampilan dan kecergasan juga memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi selepas kembali aktif mengadakan persembahan pentas.
“Memang saya kena bersenam untuk stamina dan sebagainya, terutama selepas konsert tahun lepas. Dulu saya agak kurus dan tak berapa cergas, tapi ia sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pengamal seni persembahan,” katanya ketika ditemui pada Eternal Gala Night Yusry di JioSpace, baru-baru ini.
Lebih menarik, kejayaan drama berkenaan sebenarnya membuka satu lagi pintu rezeki buat Yusry apabila ia menjadi pelengkap kepada kemunculan semulanya sebagai penyanyi solo menerusi album baharu berjudul Eternal. Menurutnya, perjalanan itu langsung tidak dirancang, sebaliknya berlaku secara semula jadi mengikut aturan rezeki.
“Saya memang tak merancang semuanya berlaku begini. Drama itu datang dahulu, kemudian album pula menyusul. Saya anggap semuanya rezeki.”
Selepas lebih dua dekad tidak tampil dengan album solo penuh, Eternal hadir sebagai simbol kebangkitan baharu buat Yusry yang selama ini lebih dikenali sebagai anggota KRU, pelakon, pengarah dan komposer.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, album itu memuatkan enam lagu yang membawa tema kehidupan, cinta, kehilangan, kekeluargaan dan perjalanan emosi yang dekat dengan pengalaman setiap insan.

Bagi Yusry, judul Eternal dipilih kerana melambangkan kenangan dan pengalaman yang akan terus kekal dalam kehidupan seseorang walaupun masa terus berlalu.
“Saya percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Saya harap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing,” katanya.
Album berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap dan komposer, Luca Sickta menerusi dua lagu iaitu Jiwa & Raga dan Hancur Kecewa, manakala empat lagi lagu iaitu Pelengkap Hidup, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu dan Narsisistik merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry.

Pada Eternal Gala Night, Yusry turut menghiburkan tetamu dengan mempersembahkan beberapa lagu daripada album baharu itu selain mengimbau nostalgia menerusi lagu-lagu malar segar yang pernah mengangkat namanya sebagai antara ikon muzik tanah air.
Hakikatnya, fenomena yang sedang dinikmati Yusry hari ini membuktikan bahawa bakat dan karisma tidak mengenal usia. Malah, penerimaan luar biasa daripada Generasi Z menjadi bukti bahawa seorang legenda mampu terus relevan selagi terus berkarya dan berani berevolusi mengikut peredaran zaman.
Daripada menjadi idola remaja pada era 1990-an kepada kembali mencuri perhatian Generasi Z pada hari ini, perjalanan seni Yusry seolah-olah membuktikan satu perkara, karisma sebenar tidak pernah pudar, sebaliknya terus hidup merentasi generasi.
