Wings ‘Sunday Night Live’ Gegar Hard Rock Café KL & Melaka, 20 Lagu Sekali Harung, Dua Album Sekali Jalan
Wings, sekali lagi menggegarkan industri muzik tempatan apabila tampil dengan pengumuman penuh ledakan dimana showcase eksklusif “Wings Sunday Night Live”.
Bukan sekadar konsert biasa, penganjuran oleh Awie Entertainment bersama dua lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Hard Rock Cafe Melaka, dengan sokongan pengurusan baharu RPM Label, dilihat sebagai pembuka tirai kepada era baharu Wings yang lebih berani, lebih keras dan lebih “meletup”.
Dua lokasi sudah pun ditetapkan sebagai medan tempur muzik Wings dimana Kuala Lumpur pada 5 Julai 2026, diikuti Melaka pada 12 Julai 2026.
Dengan konsep persembahan intim berkapasiti terhad, suasana dijangka panas dari awal hingga akhir, apabila peminat bakal berada hanya beberapa meter sahaja daripada pentas nescaya satu pengalaman yang dijanjikan “dekat di jiwa, dekat di telinga, dekat di hati”.
Lebih gempak, persembahan berdurasi sekitar 90 minit itu bakal menghenyak atmosfera dengan kira-kira 20 lagu, merangkumi rangkaian hit legenda hingga karya baharu yang menjadi nadi transformasi Wings.

Paling mengejutkan, vokalis karismatik Awie mendedahkan satu langkah luar jangka dimana Wings bukan sekadar hadir dengan satu album, tetapi dua album serentak
Satu langkah yang boleh dianggap sebagai “game changer” dalam sejarah band rock tempatan.
Album pertama mengetengahkan konsep Nusantara Rock, hasil sentuhan maestro muzik, M. Nasir, yang menyatukan roh Melayu klasik dengan ledakan gitar rock Wings yang sudah sebati dengan identiti mereka.
Album kedua pula menjadi medan eksperimen lebih agresif, lebih moden dan lebih berat, di bawah sentuhan penerbit muzik berpengaruh Edrie Hashim, yang membawa Wings ke dimensi bunyi lebih kontemporari dan “keras membakar”.

“Sekali keluar terus dua album, dua konsep berbeza. Peminat boleh pilih sendiri lagu yang mereka suka,” kata Awie penuh yakin ketika ditemui media di Hard Rock Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar percubaan, tetapi satu evolusi besar dalam perjalanan Wings.
Menurut Awie, album Nusantara Rock masih mengekalkan jiwa Wings yang sinonim dengan elemen Melayu dan sentuhan epik rock yang menjadi identiti mereka sejak sekian lama.
Namun album kedua pula, katanya, adalah manifestasi keberanian dimana acuannya lebih berat, lebih moden, lebih “raw” dan lebih dekat dengan generasi masa kini.
“Kita nak cuba sesuatu yang relevan dengan generasi sekarang,” tegasnya.
Fasa baharu Wings turut menyaksikan transformasi barisan anggota yang kini diketuai Awie selaku vokalis, bersama Sham Wings di gitar utama serta di bantu oleh Edrie Hashim di posisi gitar. Turut menguatkan formasi ialah Ilham Ishak (bass) dan Pae (dram).
Gabungan lama dan baharu ini dilihat sebagai “bahan bakar” yang akan menghidupkan semula ledakan Wings di pentas live.
Tiket dijual pada harga RM189, boleh didapati melalui Facebook Sayap-Sayap Wings atau pembelian terus di lokasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Melaka.
Peminat juga boleh mendapatkan T-shirt edisi khas Wings Sunday Night Live pada harga RM180, satu koleksi yang dijangka menjadi buruan peminat setia.
“Sunday Night Live with Wings” bukan sekadar showcase tetapi ia adalah deklarasi bahawa Wings masih belum selesai menulis sejarahnya
