“Indiescovery 2026”: Penganjur Mahu Hidupkan Semula “Roh” Muzik Alternatif Tempatan
Gelombang muzik indie Malaysia yang pernah mewarnai era penghujung 1990-an dan awal 2000-an bakal kembali bergema menerusi penganjuran konsert Indiescovery 2026 yang disifatkan sebagai antara acara paling signifikan untuk budaya muzik alternatif tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai depan, konsert anjuran RR Music dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures Group itu tampil bukan sekadar sebagai acara hiburan semata-mata, sebaliknya membawa misi mengangkat semula identiti muzik tempatan yang dilihat semakin tenggelam dalam arus pengaruh luar.
Menghimpunkan Butterfingers, Bunkface, Bittersweet dan Masdo di atas satu pentas, Indiescovery 2026 turut memperkenalkan kemunculan band generasi baharu, NOISE sebagai pembuka tirai rasmi.

Gabungan itu sekali gus menjadikan konsert berkenaan sebagai titik pertemuan dua generasi peminat muzik alternatif mereka yang pernah melalui era gig bawah tanah dan generasi muda yang kini mula kembali mencari karya tempatan beridentiti sendiri.
Menurut wakil penganjur, idea menghasilkan Indiescovery 2026 lahir daripada kebimbangan melihat landskap muzik hari ini yang semakin dipengaruhi bunyi dan trend luar negara sehingga karakter muzik tempatan semakin kurang menyerlah.

“Kami mahu raikan semula bunyi tempatan. Muzik indie Malaysia ada identiti dan jiwa tersendiri yang tidak sepatutnya hilang begitu sahaja.
“Indiescovery diwujudkan sebagai satu penghargaan kepada budaya muzik alternatif yang pernah menjadi suara kepada satu generasi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Proses menentukan barisan artis juga mengambil masa panjang kerana pihak penganjur mahu memastikan setiap nama yang dipilih benar-benar mewakili semangat dan sejarah perjalanan muzik alternatif tanah air.
“Hampir empat jam kami berbincang dan bertukar pandangan untuk memilih lineup paling tepat. Banyak hujah dan perdebatan berlaku sebelum kami capai kata sepakat,” katanya.
Antara detik paling dinanti dalam konsert itu tentunya persembahan eksklusif Butterfingers yang bakal membawakan seleksi lagu daripada dua album ikonik mereka, Transcendence dan Butter Worth Pushful.

Wakil kumpulan itu, Emmet berkata, konsep persembahan tersebut dicadangkan sendiri oleh pihak penganjur bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu kembali menikmati karya-karya berkenaan secara langsung di pentas besar.
“Rasanya ramai yang membesar dengan lagu-lagu daripada album itu. Jadi kami faham kenapa pihak penganjur mahu ia diketengahkan semula,” katanya.
Selain persembahan pentas, Indiescovery 2026 juga dilihat membawa nilai sentimental tersendiri buat peminat yang pernah melalui zaman kegemilangan budaya indie tempatan suatu ketika dahulu.
Daripada era demo CD, poster fotostat, zine muzik hinggalah budaya gig kecil di ruang bawah tanah, semuanya pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik alternatif Malaysia yang membentuk identiti generasi muda ketika itu.
Kini, semangat tersebut cuba diterjemahkan semula dalam skala lebih besar menerusi sebuah malam yang dijangka dipenuhi nostalgia, laungan peminat dan karya-karya yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai anak muda.
Sambutan awal terhadap konsert itu juga dilaporkan cukup memberangsangkan apabila kategori CAT 3 Seating hampir habis terjual dalam tempoh singkat.
Pihak penganjur percaya perkembangan itu membuktikan muzik alternatif tempatan masih mempunyai kelompok peminat yang kuat meskipun landskap industri hiburan kini banyak berubah.

Konsert berkenaan menawarkan kategori tiket CAT 1 Standing, CAT 2 Standing, CAT 3 Seating, CAT 4 Seating serta VIP Box.
Tiket rasmi kini boleh didapati menerusi Ticket2U dengan kapasiti terhad di Zepp Kuala Lumpur dijangka menyaksikan permintaan terus meningkat menjelang hari penganjuran.
