October 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Wings, Kristal, Muzza Gegar 35 Tahun Hard Rock Cafe KL

Spread the love

Tiga Penggempur Rock Tempatan Satukan Tenaga Dalam ‘35 Years, One Legendary Night’, Memorabilia Dato’ Awie Turut Diabadikan

Tiga nama besar rock tempatan, WINGS, Kristal dan Muzza bakal menyatukan tenaga dalam satu pentas apabila Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (Hard Rock Cafe KL) meraikan ulang tahun ke-35 menerusi ‘35 Years, One Legendary Night’, 9 November ini.

Bukan sekadar sambutan ulang tahun, acara bermula jam 9 malam itu dijangka menjadi malam penuh dentuman rock apabila WINGS, Kristal dan Muzza bergilir-gilir menghidupkan pentas dengan identiti muzik serta karya masing-masing.

WINGS yang sudah sebati dengan sejarah muzik rock tanah air tampil sebagai tarikan utama, sekali gus menjanjikan persembahan sarat nostalgia menerusi rangkaian lagu popular mereka.

Kristal pula membawa warna fast-rock yang menjadi identiti kumpulan berkenaan sejak lebih dua dekad mewarnai industri muzik tempatan. Kumpulan itu kini dianggotai Ewal (vokal), Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).

KRISTAL

Tidak ketinggalan, Muzza yang dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris turut turun menghangatkan pentas menerusi karya yang dekat dengan peminat, termasuk Bara Jiwa, runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.

Gabungan tiga nama itu menjadikan ‘35 Years, One Legendary Night’ bukan sekadar pesta ulang tahun, sebaliknya pertembungan tiga warna muzik rock yang mewakili perjalanan, kesinambungan dan masa depan muzik tempatan.

Sejak mula beroperasi pada 1991, Hard Rock Cafe KL menjadi antara lokasi ikonik yang sinonim dengan muzik, hiburan dan budaya popular di ibu negara.

Kini, selepas 35 tahun, pentas berkenaan kembali menjadi titik pertemuan pemuzik dan peminat untuk meraikan legasi yang dibina bersama.

Lebih istimewa, sambutan ulang tahun itu turut menyaksikan memorabilia milik Dato’ Awie diserahkan untuk diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe KL sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada industri muzik tempatan.

Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh berkata, perjalanan muzik Dato’ Awie turut mencerminkan perkembangan Hard Rock Cafe KL sepanjang 35 tahun.

“35 tahun mewakili lebih daripada sekadar masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami.  Kami amat berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini telah membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.

Penganjuran acara dikendalikan Rumah Produksi Merah Events (RPM Events), dengan Pengarah Urusannya, Datuk Eddy Amir Salim, menyifatkan kepercayaan Hard Rock Cafe KL sebagai satu penghargaan besar.

“Acara ini bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang telah mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.

Dalam masa sama, Hard Rock Cafe KL turut melancarkan T-shirt edisi terhad hasil kolaborasi bersama WINGS.  Hanya 500 helai dikeluarkan dengan harga RM198 dan boleh didapati menerusi Rock Shop®, menjadikannya koleksi istimewa buat peminat WINGS serta pengumpul memorabilia muzik.

Tiket ‘35 Years, One Legendary Night’ pula dijual pada harga RM219 seorang, termasuk satu minuman ringan.

Kemasukan terhad kepada pemegang tiket berusia 18 tahun ke atas dan tiket boleh didapati menerusi Hard Rock Cafe KL serta kelab peminat WINGS, Sayap-Sayap Wings.

Rock Shop® Hard Rock Cafe KL beroperasi setiap hari dari 11.30 pagi hingga tengah malam, Ahad hingga Khamis, manakala operasi dilanjutkan sehingga 1 pagi pada Jumaat dan Sabtu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page