October 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

beabadoobee Kembali ke KL Bersempena ‘Powerlines Tour’

Spread the love

Bintang alternatif Britain itu bakal menemui peminat Malaysia menerusi konsert solo pertama di Zepp KL pada 30 Mac 2027

Selepas pernah menghiburkan peminat Malaysia menerusi persembahan festival, ikon muzik alternatif, beabadoobee kembali ke Kuala Lumpur, kali ini dengan pentas miliknya sendiri menerusi The Powerlines Tour pada 30 Mac 2027.

Konsert yang dianjurkan Live Nation Malaysia itu bakal berlangsung di Zepp KL dan menjadi penampilan sulung beabadoobee sebagai artis utama dalam konsert solo di Malaysia.

Kepulangan itu pastinya dinantikan peminat yang mahu menyaksikan sendiri evolusi muzik Beatrice Laus, nama sebenar penyanyi kelahiran Filipina yang membesar di London, selepas mencipta fenomena menerusi album terbaharunya, Pylon.

Lebih istimewa, Pylon yang dilancarkan pada September lalu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara nama penting dalam muzik alternatif global apabila menduduki tempat pertama Carta Album Rasmi UK dan Carta Album ARIA Australia, selain berada di tangga ketujuh Billboard 200 Amerika Syarikat.

Album berkenaan turut menyaksikan beabadoobee bergandingan dengan beberapa nama besar yang suatu ketika dahulu hanya menjadi impian ketika dirinya masih remaja.

Antaranya vokalis Paramore, Hayley Williams, vokalis Turnstile, Brendan Yates, Evan Stephens Hall daripada Pinegrove, Chino Moreno daripada Deftones serta Shane Moran daripada Title Fight.

Dengan barisan kolaborator berprofil tinggi itu, Pylon memperlihatkan perkembangan muzik beabadoobee yang semakin matang, berani dan luas, tanpa meninggalkan identiti alternatif yang menjadi nadi kerjayanya.

Beabadoobee sebelum ini turut mencipta sejarah menerusi album This Is How Tomorrow Moves yang menjadi album pertamanya menduduki tempat pertama Carta Album Rasmi UK pada 2024.

Dua album terdahulunya, Beatopia dan Fake It Flowers, masing-masing turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berada dalam kelompok 10 teratas carta UK.

Dengan tiga album studio, lima EP, pencalonan BRIT Awards dan BBC Sound Of serta kemenangan NME Radar Award, beabadoobee kini memiliki lebih 10 bilion strim di seluruh dunia dan lebih 12 juta pengikut di media sosial.

Konsert beabadoobee: The Powerlines Tour in Kuala Lumpur sekali gus menjadi peluang buat peminat tempatan menikmati secara dekat fasa terbaharu perjalanan muziknya, termasuk karya daripada Pylon.

Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan, jualan tiket dibuka secara berperingkat.

Akses Artist Presale dibuka dari 12 Oktober jam 11 pagi hingga 13 Oktober jam 11 pagi. Peminat boleh mendaftar menerusi laman rasmi beabadoobee bagi mendapatkan kod presale.

Pemegang kad Mastercard pula mendapat akses presale pada 13 Oktober dari jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

Seterusnya, ahli Live Nation boleh mendapatkan tiket menerusi Live Nation Presale pada 14 Oktober dari jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

Jualan tiket kepada orang ramai pula dibuka pada 15 Oktober, bermula jam 12 tengah hari menerusi GoLive Asia.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh mendapatkan informasi menerusi laman rasmi Live Nation Malaysia dan GoLive Asia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page