Wali Band ‘Laris’, 50 Peratus Tiket Lesap Dalam Dua Jam

Konsert Di Educity Sports Complex Pada 3 Oktober Depan Dijangka Himpunkan Peminat Dari Malaysia, Singapura Dan Indonesia Selepas Separuh Tiket Habis Dijual Hanya Dalam Tempoh Dua Jam
Fenomena Wali Band di Malaysia terus membuktikan mereka belum kehilangan magis apabila 50 peratus tiket konsert Wali Live In JB habis dijual hanya dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka semalam.
Sambutan luar biasa itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan kumpulan popular dari Indonesia itu sebagai antara nama paling berpengaruh di rantau ini, sekali gus memberi petanda konsert yang bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri pada 3 Oktober depan berpotensi mencatat kehadiran luar biasa.
Selepas menghiburkan peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, Johor Bahru menjadi destinasi terakhir siri jelajah mereka di Malaysia yang disifatkan sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni Wali Band sejak lebih dua dekad lalu.

Dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard), Wali Band terus kekal relevan dengan deretan lagu malar segar seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib dan Nenekku Pahlawanku yang masih menjadi siulan peminat pelbagai generasi.
Keupayaan mereka menghasilkan lagu yang dekat dengan kehidupan masyarakat menerusi lirik yang mudah difahami serta melodi yang melekat di hati menjadikan setiap persembahan Wali Band sentiasa bertukar menjadi lautan suara apabila ribuan penonton menyanyi bersama dari awal hingga akhir.
Menurut vokalisnya, Faank, jelajah kali ini memberi makna tersendiri buat mereka kerana berpeluang bertemu peminat di beberapa negeri dalam satu siri persembahan.
“Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa. Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia.
“Sebelum ini kami bertemu peminat di Kota Kinabalu, kemudian Kuala Lumpur dan kini kami akan mengakhiri perjalanan ini bersama peminat di Johor Bahru,” katanya.
Faank berkata, kasih sayang yang diberikan peminat Malaysia menjadi sebab utama Wali Band sentiasa ingin kembali mengadakan persembahan di negara ini.
“Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia. Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik.”
Beliau turut memberi bayangan konsert di Johor Bahru nanti akan tampil dengan kelainan termasuk beberapa kejutan khas buat peminat.
“Kami sedang menyiapkan sebuah persembahan yang istimewa untuk Johor Bahru. Sudah tentu lagu-lagu yang paling dirindui peminat akan kami bawakan dan mungkin juga ada beberapa kejutan yang kami simpan khas untuk malam itu.
“Kami berharap semua dapat hadir dan sama-sama mencipta kenangan yang indah bersama Wali Band,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur Nusantara Live Entertainment, Nur Liyana Abdul Rahman bersama wakil Infinity Love Creative Ventures, Shasha Samsudin berkata, Johor Bahru dipilih kerana kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk utama di selatan Semenanjung.
Katanya, lokasi itu membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul dalam satu konsert bertaraf antarabangsa.
“Johor Bahru berada berhampiran Singapura dan Batam selain mempunyai akses yang mudah melalui lebuh raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tambak Johor, Laluan Kedua Malaysia-Singapura serta perkhidmatan feri ke Batam.
“Kami percaya faktor ini akan memudahkan ribuan peminat dari tiga negara hadir menyaksikan Wali Band secara langsung,” katanya.
Menurutnya, konsert itu bukan sekadar acara hiburan, malah dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan menerusi kehadiran pengunjung dari dalam serta luar negara.
Dengan produksi pentas yang lebih segar, sistem audio bertaraf antarabangsa dan himpunan lagu-lagu ikonik yang menjadi runut bunyi kehidupan jutaan peminat, Wali Live In JB dijangka muncul sebagai antara konsert Nusantara terbesar yang wajib disaksikan tahun ini.

Tiket ditawarkan pada harga RM88 (Cari Berkah – CAT 3), RM128 (Cari Jodoh – GA), RM128 (Emang Dasar – CAT 2), RM168 (Nenekku Pahlawanku – CAT 1), RM388 (Tomat – VIP) dan RM1,188 (Yank – Super VIP).
