THE MAGE: Josie Ho Lawan Takut, Redah Sampah

Takut kuman dan kekotoran, Josie Ho sanggup ‘terjun’ dalam timbunan dua tan barangan terbuang hingga mengalami ruam demi menghidupkan watak medium dalam THE MAGE
Takut kuman, geli dengan kekotoran, malah sampai naik ruam, namun semua itu bukan alasan buat pelakon Hong Kong, Josie Ho, untuk mengelak daripada ‘bergelut’ dengan kira-kira dua tan barangan terbuang ketika menjayakan filem terbaharu Pang Brothers, THE MAGE.
Bagi menghidupkan watak Lan Pui Ching, seorang medium yang mempunyai kebolehan luar biasa, Josie terpaksa berdepan dengan fobia peribadinya apabila sebahagian besar penggambaran berlangsung dalam set yang dipenuhi longgokan barangan terbuang.
Bukan sedikit, tetapi kira-kira dua tan, keadaan itu bukan saja mencabar mental dan fizikal, malah Josie dilaporkan mengalami ruam selepas terdedah kepada persekitaran kotor berkenaan.
Namun, pelakon itu tetap meneruskan penggambaran kerana baginya THE MAGE bukan sekadar kisah hantu atau dunia supernatural, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai sisi kemanusiaan.
“Walaupun berada di tempat paling kotor, kita masih boleh melihat kebaikan di dalamnya,” katanya.
Kenyataan itu seakan merumuskan keseluruhan jiwa THE MAGE yang menggabungkan elemen suspens, misteri dan supernatural dengan kisah trauma, kehilangan, kebaikan serta kasih tanpa syarat.

Filem berkenaan mula menemui penonton Malaysia hari ini, 8 Oktober, menerusi edaran Mega Films Distribution di pawagam seluruh negara.
Lebih menarik, THE MAGE menjadi projek yang menyaksikan Pang Brothers kembali bergabung sebagai duo pengarah selepas lebih sedekad, sekali gus mengembalikan sentuhan Danny Pang dan Oxide Pang yang cukup sinonim dengan genre seram.
Nama mereka sebelum ini melonjak menerusi francais ikonik The Eye, justeru kemunculan THE MAGE menjadi antara karya yang dinantikan penggemar filem genre.
Kisahnya berpusat pada Lan Pui Ching, seorang medium yang memiliki kebolehan luar biasa dan menjalani kehidupan dikelilingi barangan terbuang. Namun, longgokan sampah itu bukan sekadar elemen visual untuk mencetuskan rasa jijik atau seram.
Idea filem berkenaan tercetus daripada kisah seorang kenalan Danny Pang yang gemar mengutip barangan terbuang kerana percaya objek tertentu mempunyai kaitan dengan roh individu yang meninggal dunia secara mengejut.

“Saya pertama kali mendengar cerita ini daripada Danny di dapur rumah saya,” kata Josie.
Daripada kisah itu, Pang Brothers membina sebuah naratif yang mengajak penonton melihat sesuatu yang dianggap tidak bernilai dari sudut berbeza dimana yang dibuang belum tentu tidak bernilai, manakala yang kelihatan menakutkan belum tentu membawa kejahatan.
THE MAGE turut menampilkan Carlos Chan dan Iman Taheri. Iman pula mempunyai latar belakang unik apabila pernah berkhidmat sebagai pakar bedah sebelum mengubah haluan ke dunia lakonan.
Josie dan penerbit Conroy Chan membantu mempersiapkan Iman sebelum penggambaran, manakala persembahannya turut mendapat perhatian Danny Pang.

Bercakap mengenai dunia supernatural, Iman mengakui manusia tidak mengetahui segala-galanya mengenai perkara yang berada di luar pemahaman.
“Ada perkara yang kita tidak tahu, kuasa yang berada di luar pemahaman kita,” katanya.
Malah, secara berseloroh, Iman menyifatkan kejayaan Josie, Conroy dan Pang Brothers ‘menukar’ seorang pakar bedah menjadi pelakon sebagai kejadian supernatural terbesar sepanjang pembikinan filem itu.





Sebelum tiba di Malaysia, THE MAGE terlebih dulu mengumpul momentum di pentas festival antarabangsa. Filem itu membuat tayangan perdana dunia di Bucheon International Fantastic Film Festival (BIFAN), Korea Selatan.
Di festival sama, Josie menerima Fantastic Icon Award sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan dan sumbangannya dalam dunia filem genre. THE MAGE kemudiannya dipilih sebagai filem pembukaan Midnight Section di Bangkok International Film Festival pada 14 September lalu.
Lebih membanggakan, karya berbahasa Cina dari Hong Kong itu menjadi produksi pertama seumpamanya yang diberi penghormatan membuka segmen Midnight Section festival berkenaan.
Perjalanan antarabangsa THE MAGE diteruskan menerusi penyertaannya dalam Sitges International Fantastic Film Festival of Catalonia, antara festival filem fantasi dan genre paling berprestij di dunia.
Dengan sentuhan Pang Brothers, persembahan Josie Ho dan naratif yang mengimbangi dunia supernatural dengan emosi manusia, THE MAGE hadir bukan sekadar untuk menakutkan penonton. Sebaliknya, filem ini mengajak penonton mencari kebaikan di tempat yang paling tidak disangka-sangka.
