DOLLA Tembus Eropah, Tiga Negara Menanti

Selepas Mengembangkan Pengaruh Di Asia Tenggara, Kumpulan Wanita Malaysia Itu Bakal Mengadakan Jelajah Showcase Pertama Di Paris, Berlin Dan Amsterdam Menerusi Kerjasama Bersama Rapper Thailand, Tobii.
Selepas mengembangkan pengaruh di Asia Tenggara, kumpulan wanita popular, DOLLA, kini bersedia melebarkan sayap ke Eropah menerusi jelajah showcase pertama mereka di benua itu.
Langkah berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama bersama penyanyi rap Def Jam Thailand, Tobii, menerusi DOLLA × Tobii Europe Showcase Tour 2026, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik kumpulan itu di pentas antarabangsa.
Jelajah berkenaan menyaksikan DOLLA mengunjungi tiga bandar utama Eropah iaitu Paris, Berlin dan Amsterdam, dengan persembahan dijadualkan berlangsung pada 24, 28 dan 29 Oktober ini.
DOLLA bakal membuat persembahan di The A Festival di Paris pada 24 Oktober, diikuti Bi Nuu di Berlin pada 28 Oktober, sebelum meneruskan aksi di P60, Amsterdam pada 29 Oktober.
Malah, satu lagi persinggahan berpotensi di Eropah turut dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Perkembangan itu bukan sekadar menambah senarai pencapaian DOLLA, sebaliknya memperlihatkan peluang semakin terbuka buat muzik pop Malaysia menembusi khalayak lebih luas di luar rantau Asia.
Sebelum melangkah ke Eropah, DOLLA terlebih dahulu mencuri perhatian menerusi penampilan di showcase Music Is Universal di Clarke Quay, Singapura, pada 4 Oktober lalu.
Acara itu turut menghimpunkan bakat muzik serantau termasuk MARBLES dari Indonesia, VVV dari Thailand, XONARA dari Filipina dan Lyhan dari Vietnam, sekali gus menjadi platform mempertemukan artis dari pelbagai negara Asia Tenggara.
Pada hari berikutnya, DOLLA turut membuat persembahan sebelum berlangsungnya sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group (UMG) bagi Afrika, Timur Tengah dan Asia, Adam Granite.
Sesi bertajuk Music Is Universal, A Look at the Region’s Most Exciting Musical Future itu membincangkan potensi serta masa depan industri muzik serantau, termasuk peluang untuk membawa artis tempatan ke pasaran antarabangsa.
Dalam sesi berkenaan, Adam menyatakan pengurusan UMG menyokong lebih daripada 130 artis di seluruh rantau ini, sekali gus mencerminkan usaha berterusan membuka lebih banyak peluang kepada bakat muzik untuk membina kelompok peminat di peringkat global.
Seperti yang diketengahkan dalam laporan Music Business Worldwide, perkembangan DOLLA turut mencerminkan aspirasi untuk mengangkat bakat serantau ke pentas dunia.
Dengan momentum yang semakin berkembang di Asia Tenggara dan bakal menjelajah Eropah, DOLLA kini mempunyai peluang untuk memperkenalkan identiti muzik pop Malaysia kepada khalayak baharu.
Jelajah itu juga menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan kumpulan berkenaan untuk memperluas capaian muzik mereka merentasi sempadan.
