Syazzik Tak Mahu Jadi Pelakon ‘Kosong’

Kredit Foto: Papadin
Jumlah pengikut yang mencecah puluhan atau ratusan ribu di media sosial bukan jaminan seseorang mampu menghidupkan watak di depan kamera.
Bagi pelakon Syazani Zikry atau lebih dikenali sebagai Syazzik, populariti mungkin membuka pintu peluang, namun bakat, ilmu dan kesungguhan untuk terus belajar tetap menjadi asas penting buat seseorang pelakon.
Tidak mahu sekadar dikenali kerana angka di media sosial, Syazzik mahu membuktikan dirinya mampu berdiri atas kekuatan lakonan dan penghayatan watak.
Katanya, pelakon perlu sentiasa menimba ilmu dan mengasah kemahiran kerana pengalaman yang dimiliki tidak bermakna proses pembelajaran boleh dihentikan.
“Pada saya benda ini sangat penting untuk kita sebagai pelakon untuk sentiasa belajar walaupun mungkin orang rasa pengalaman itu dah ada, tapi pembelajaran, knowledge has no limit kepada saya,” katanya ketika ditemui media secara eksklusif di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Syazzik, dia sendiri masih menghadiri kelas lakonan bersama beberapa tenaga pengajar berpengalaman kerana mahu terus memperbaiki kemampuan dan memahami teknik lakonan dengan lebih mendalam.
“Bagi saya, kita tak boleh rasa kita dah cukup bagus. Dalam bidang ini sentiasa ada benda baharu yang kita boleh belajar dan perbaiki,” katanya.

Syazzik yang sudah lima tahun berkecimpung dalam industri seni berkata, dia juga tidak mahu terlalu memilih tawaran berdasarkan genre kerana menganggap setiap peluang yang hadir sebagai rezeki dan ruang untuk menimba pengalaman.
Namun, dia mengakui lebih cenderung kepada filem kerana medium berkenaan memberi ruang untuk penceritaan dan penghayatan watak yang dirasakan lebih mendalam.
“Saya rasa watak saya suka main watak-watak yang mendalami jiwa sebenarnya,” katanya.
Dalam masa sama, Syazzik menyimpan impian untuk mencuba genre romantik komedi (romcom), sesuatu yang dilihatnya mampu mengetengahkan sisi berbeza dirinya sebagai pelakon.
Perjalanan Syazzik dalam industri pula bukan bermula dengan terus menerima watak besar. Memulakan langkah menerusi teater muzikal ketika masih kecil, dia pernah mewakili Johor di peringkat negeri sebelum berehat seketika daripada dunia seni.
Apabila kembali mencuba nasib dalam lakonan skrin, Syazzik bermula sebagai ekstra tanpa dialog sebelum perlahan-lahan diberikan peluang membawa watak sokongan.

Daripada watak kecil, dia akhirnya diberi kepercayaan sebagai pelakon utama menerusi filem Kabus. Selain itu, Syazzik turut membintangi Ceroboh yang ditayangkan di Netflix, Sazali Meor Coco sebagai filem debut di pawagam, Tafakur dan terbaharu Angkat.
Bagi Syazzik, perjalanan daripada ekstra tanpa dialog kepada watak utama membuktikan peluang dalam industri perlu disambut dengan kesungguhan dan kesediaan untuk belajar.
Dalam pada itu, dia turut berpandangan bakat perlu berjalan seiring dengan pengaruh media sosial dalam landskap industri hari ini.
“Pada saya kita kena tengok dari segi bakat dulu dan juga follower,” katanya.
Katanya, jumlah pengikut boleh menjadi salah satu faktor yang diberi perhatian, namun kemampuan seseorang pelakon untuk memberikan persembahan meyakinkan tetap tidak boleh diketepikan.
“Follower mungkin boleh bantu dari segi exposure, tapi kalau kita diberikan sesuatu watak, kita kena buktikan kita memang boleh buat,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, beberapa projek lakonan Syazzik yang sudah disiapkan kini menunggu masa untuk ditayangkan.
Antaranya sebuah filem yang disifatkannya mempunyai genre dan penceritaan unik berkaitan kanibalisme, selain menampilkan watak dua beradik yang dilakonkan bersama Amir Nafis.

Syazzik berkata, pengumuman mengenai projek berkenaan dijangka dibuat dalam masa terdekat. Dia juga mempunyai tiga lagi filem yang sudah selesai menjalani penggambaran termasuk Curi Makan.
Selepas mendirikan rumah tangga baru-baru ini, Syazzik kini menerima lebih banyak tawaran sebagai pengacara dan pengacara majlis selepas sibuk menjalani penggambaran drama serta filem secara berturut-turut dari awal tahun hingga sekitar Jun dan Julai.
Untuk tempoh lima tahun akan datang, Syazzik mahu lebih konsisten dalam drama televisyen di samping meneruskan kerjaya filem, pengacaraan dan produksi.
“Saya nak konsistenkan benda itu,” katanya.
Dia juga menyimpan impian untuk bergelar pengacara televisyen, menghasilkan lebih banyak projek serta terus mencari peluang yang mampu mengembangkan kerjayanya.
Bagi Syazzik, pencalonan dalam kategori Pelakon Lelaki Baharu di Anugerah Bintang Popular dua tahun lalu menjadi antara pencapaian yang bermakna dalam perjalanan seninya.
Dalam bidang produksi pula, kemenangan kategori Best Short Film pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 menjadi pengalaman penting yang menguatkan lagi keyakinannya untuk terus berkarya.
Lima tahun mungkin baru permulaan buat Syazzik, namun satu perkara jelas dimana dia tidak mahu hanya menjadi pelakon yang dikenali kerana populariti.
Sebaliknya, dia mahu dikenali kerana kemampuan menghidupkan watak, kesungguhan menimba ilmu dan keberanian untuk terus berkembang.
“Saya tak mahu jadi pelakon yang kosong. Kalau diberikan watak, saya mahu penonton nampak jiwa dan usaha yang saya letakkan dalam watak itu.”katanya.
