June 21, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Slam Masih Menjunjung Bahasa Cinta dan Nostalgia

Spread the love

Kredit Foto: PaPaDin

Selama lebih tiga dekad, Slam tidak sekadar menjual melodi dan lirik. Mereka mengajar sebuah generasi mengenal makna cinta, menghayati rindu, menerima perpisahan dan berdamai dengan kehilangan. Dalam suara Zamani dan petikan gitar yang mengiringi, terakam ribuan kisah yang pernah hidup dalam hati masyarakat.

Selepas mencipta fenomena menerusi konsert unplugged pertama mereka di Stadium Merdeka pada 1996, kumpulan legenda Slam sekali lagi membuktikan bahawa nama mereka masih utuh di hati peminat apabila berjaya menghimpunkan ribuan penonton dalam Konsert The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena, pada 21 Jun lalu.

Seperti sebuah manuskrip lama yang dibuka semula, setiap halaman kenangan mula berterbangan di ruang udara sebaik lampu arena dipadamkan.

Pancaran cahaya keemasan menyimbah pentas. Alunan pembukaan daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan mula bergema, sebelum kelibat Zamani Ibrahim, Shah, Lili, Man dan Eddie disambut sorakan yang menggegarkan segenap ruang Mega Star Arena.

Malam itu, pentas bukan lagi sekadar sebuah ruang persembahan. Ia berubah menjadi sebuah lorong masa yang membawa ribuan jiwa kembali kepada era kegemilangan 1990-an. Era ketika pita kaset menjadi peneman perjalanan, radio menjadi penghubung rasa dan nama Slam menjadi bahasa cinta yang difahami seluruh negara.

Lebih dua jam, lima anak seni itu mengemudi lautan kenangan dengan penuh wibawa. Diiringi susunan mewah Orkestra Simfoni Kebangsaan, mereka membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kejujuran tidak pernah dimamah usia.

Namun, tumpuan tentunya terarah kepada lelaki bernama Zamani.  Pemilik suara yang pernah mengisi segenap pelosok Nusantara itu sekali lagi membuktikan bahawa keajaiban yang dimilikinya tidak pernah hilang ditelan waktu.

Lunak, bersih dan penuh jiwa.  Setiap bait yang lahir daripada bibirnya seolah-olah membawa penonton kembali ke zaman ketika kaset-kaset Slam berputar tanpa jemu di ruang tamu, di dalam kereta dan di kamar-kamar sunyi yang menyimpan seribu cerita.

Lebih mengagumkan, Zamani yang pernah melalui cabaran masalah skoliosis tampil dengan semangat luar biasa. Sesekali beliau melemparkan senyuman, sesekali menyapa penonton dengan jenaka yang menghangatkan suasana.

“Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini dan terus menyokong kami. Saya nak tanya, siapa yang pernah datang ke konsert Unplugged Slam di Stadium Merdeka pada 1996? Dan siapa yang ketika itu belum dilahirkan? Maknanya, yang datang malam ini sudah sebaya dengan kami,” katanya sambil disambut sorakan dan gelak ketawa para peminat.

Konsert yang dibahagikan kepada beberapa segmen itu mempersembahkan keseluruhan 18 lagu yang menjadi khazanah tidak ternilai kumpulan berkenaan.

Segmen pembukaan dimulakan dengan Sinar Menunggu, Biarkannya, Kurnia, Satu Jalan Satu Pegangan, Mentari Muncul Lagi, Rindiani, Syair Pari-Pari dan Entah Mengapa.

Keindahan susunan orkestra yang dibalut dengan roh balada rock dan nuansa unplugged menghasilkan pengalaman mendengar yang cukup memukau. Setiap lagu hadir dengan wajah baharu, namun jiwanya masih kekal seperti yang pernah dicintai.

Permainan cahaya yang sentiasa berubah mengikut emosi lagu menambahkan lagi magis persembahan.  Tatkala lagu-lagu bernada sendu berkumandang, pentas dibasahi rona biru dan ungu yang mendamaikan. Saat rentak rock mula menguasai ruang, pancaran merah dan jingga menyala garang, membakar semangat ribuan penonton yang tidak pernah berhenti menyanyi bersama.

Energi yang terbit dari atas pentas disambut dengan lautan suara para peminat yang hafal setiap bait lirik.  Mega Star Arena seolah-olah bertukar menjadi sebuah rumah besar yang menghimpunkan ribuan insan dengan satu bahasa yang sama iaitu bahasa cinta dan bahasa rindu.  Itulah bahasa yang selama ini dijunjung oleh Slam.

Kemunculan tiga figura gitar legenda, JoBranko, Kid Search dan Aznan Alias menjadi antara detik paling mengujakan malam itu.  Mereka tidak bersendirian sebaliknya berpadu bersama Shah, Sekaligus empat pendekar enam tali itu menyatukan tenaga menerusi Sentuhan Listrikmu, Intanku Kesepian dan Gadisku.

Petikan gitar yang saling bersahutan mencipta ledakan adrenalin yang menggoncang arena. Ditambah pula dengan permainan cahaya dramatik dan sorakan tidak putus-putus daripada penonton, segmen berkenaan menjadi ‘pesta rock’ seraya menghidupkan semula semangat era keemasan muzik tanah air.

Memasuki set kedua, Slam terus membawa penonton menyelusuri khazanah agung mereka menerusi Kembali Merindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Manisnya Rindu, Kita Terpaksa Bermusuhan, Buat Seorang Kekasih, Tak Mungkin Berpaling, Nurkasih dan Kembali Terjalin.

Dan seperti yang dijangka, malam yang penuh kenangan itu akhirnya menemukan klimaksnya menerusi lagu keramat, Gerimis Mengundang.

JoBranko, Kid Search dan Aznan Alias kembali ke pentas bergandingan bersama Shah, membentuk sebuah barisan gitar yang cukup bersejarah.  Dalam limpahan cahaya keemasan dan putih yang memenuhi ruang arena, suara emas Zamani bergema dengan penuh penghayatan.

Khalayak mula mengangkat telefon bimbit, menyanyi bersama dan membiarkan kenangan yang telah lama tersimpan kembali mengalir tanpa sempadan.  Buktinya tepukan gemuruh bergema panjang sebaik lagu itu melabuhkan tirainya.

Ketika lampu perlahan-lahan dipadamkan, semua yang hadir seakan sedar bahawa mereka baru sahaja menyaksikan sesuatu yang lebih besar daripada sebuah konsert.  The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia.  Ia adalah sebuah surat cinta kepada zaman.

Sebuah perayaan terhadap karya yang tidak pernah mati, dan bukti bahawa selepas lebih 35 tahun, Slam masih teguh berdiri sebagai penjunjung bahasa cinta yang paling indah pernah lahir dalam sejarah muzik tanah air.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page