BABYMONSTER Kembali Gegar Kuala Lumpur November Ini
Selepas mencipta gelombang luar biasa menerusi jelajah dunia pertama mereka tahun lalu, kumpulan sensasi K-pop generasi baharu, BABYMONSTER, bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi konsert 2026-27 BABYMONSTER WORLD TOUR [춤 (CHOOM)] IN KUALA LUMPUR yang dijadual berlangsung pada 14 November depan di Unifi Arena.
Pengumuman rasmi jelajah kedua kumpulan naungan YG Entertainment itu dibuat menerusi saluran media sosial syarikat berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan BABYMONSTER sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh dalam industri K-pop masa kini.
Jelajah berskala besar itu merangkumi lima benua dengan Asia dan Oceania menjadi antara destinasi utama. Selain Seoul dan enam bandar utama di Jepun, BABYMONSTER turut bakal mengadakan persembahan di Manila, Macau, Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur, Taipei, Singapura dan Hong Kong sebelum meneruskan perjalanan ke Auckland, Melbourne dan Sydney.
Secara keseluruhan, siri jelajah itu merangkumi 29 persembahan di 18 bandar, sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara berbanding jelajah dunia pertama mereka yang berjaya menarik kira-kira 300,000 penonton menerusi 32 persembahan di 20 bandar tahun lalu.
Konsert di Osaka turut mencuri perhatian apabila bakal berlangsung di Kyocera Dome Osaka, menjadikan ia persembahan pertama BABYMONSTER di venue dome utama Jepun hanya kira-kira dua tahun lima bulan selepas debut mereka, sekali gus membuktikan perkembangan luar biasa kumpulan itu di pentas antarabangsa.

Tidak hanya menakluk Asia, BABYMONSTER juga bakal menemui peminat di Oceania buat pertama kali, sesuatu yang dijangka menerima sambutan hangat daripada peminat yang sekian lama menantikan kehadiran mereka.
Menurut YG Entertainment, persiapan rapi sedang dilakukan bagi memastikan setiap persembahan tampil dengan produksi bertaraf antarabangsa.
“Ini adalah jelajah berskala besar merentasi lima benua. Artis dan seluruh pasukan produksi sedang memberikan komitmen penuh bagi menghadirkan persembahan berkualiti tinggi. Kami juga berharap peminat terus menantikan pengumuman bagi siri jelajah di Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, BABYMONSTER baru sahaja melancarkan mini album ketiga mereka, [춤 (CHOOM)], yang berjaya menduduki tangga pertama carta Album iTunes di 19 negara selain mengungguli carta Album Seluruh Dunia, sekali gus membuktikan pengaruh global mereka yang semakin kukuh.
Bagi peminat tempatan, jualan tiket konsert di Kuala Lumpur akan dibuka secara berperingkat bermula 30 Jun ini menerusi pra-jualan khas untuk ahli MONSTIEZ Membership (Global). Ahli yang ingin menikmati akses awal perlu mendaftar di platform Weverse sebelum 25 Jun bagi tujuan pengesahan.
Pemegang kad Mastercard pula akan menikmati akses pra-jualan pada 1 Julai, diikuti pra-jualan eksklusif untuk ahli Live Nation Malaysia pada 2 Julai.

Jualan tiket umum akan bermula pada 3 Julai, jam 11 pagi menerusi platform GoLive Asia, dengan penganjuran konsert ini dibawakan oleh Live Nation Malaysia bersama iMe Malaysia.
Kehadiran semula BABYMONSTER ke Kuala Lumpur dijangka sekali lagi mencetuskan fenomena dalam kalangan MONSTIEZ tempatan, apatah lagi dengan reputasi mereka sebagai kumpulan wanita generasi baharu yang sedang mendominasi pentas global dengan rentak, tenaga dan karisma luar biasa.
