Simple Plan Gegar Malaysia! Peminat Pop-Punk ‘Kembali Ke Zaman Muda’
Demam pop-punk kembali membara! Kumpulan legenda dari Kanada, Simple Plan, difahamkan bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi sebuah konsert yang kini menjadi antara acara muzik paling dinanti-nantikan tahun 2026.
Selepas mencetuskan fenomena setiap kali hadir ke rantau Asia Tenggara, Simple Plan kini mengumumkan kemunculan semula mereka ke Malaysia menerusi jelajah terbaharu, “The Bigger Than You Think!” Tour yang dijadual berlangsung pada 21 November 2026 di Idea Live Arena.
Kepulangan kumpulan yang popular dengan identiti muzik penuh emosi dan tenaga itu nyata mencetuskan keterujaan peminat tempatan yang membesar dengan lagu-lagu ikonik seperti Welcome to My Life, Perfect, I’m Just a Kid dan Summer Paradise.
Konsert ini dibawakan oleh dua nama besar industri hiburan, RK Live Asia dan Midas Promotion, yang sekali lagi bergabung tenaga bagi menjanjikan pengalaman konsert bertaraf antarabangsa kepada peminat tempatan.

Kepulangan band yang dianggotai Pierre Bouvier, Chuck Comeau, Jeff Stinco dan Sébastien Lefebvre ini sememangnya dinanti-nantikan, apatah lagi selepas kejayaan siri jelajah global sempena ulang tahun ke-25 mereka yang kini memasuki fasa Asia.
Kemunculan semula Simple Plan ke rantau Asia Tenggara ini turut dilihat sebagai sebahagian daripada gelombang kebangkitan semula era pop-punk yang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan peminat lama dan generasi baharu.
Menurut penganjur, penjualan tiket akan bermula awal Mei 2026 dengan pra-jualan khas terlebih dahulu sebelum jualan umum dibuka kepada orang ramai.
Kehadiran Simple Plan ke Kuala Lumpur juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggara yang turut melibatkan beberapa negara lain seperti Singapura dan Indonesia, sekali gus membuktikan pengaruh berterusan mereka di rantau ini.
Selain daripada hiburan, tour ini juga membawa elemen tanggungjawab sosial melalui Simple Plan Foundation. Sumbangan USD1 daripada setiap tiket mungkin kelihatan kecil, tetapi secara kolektif ia memberi impak besar kepada komuniti yang memerlukan.

Tiket akan mula di jual secara berperingkat menerusi laman web ticketmelon.com dan fantopia io. Pra jualan Artis bermula pada 4 Mei jam 11 pagi dan Jualan Umum pada 5 Mei bermula jam 11 pagi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, konsert ini nanti bakal menjadi medan ‘terapi nostalgia’ apabila ribuan peminat dijangka kembali menyanyi sekuat hati, seolah-olah menghidupkan semula zaman remaja yang tidak mungkin berulang.
