May 5, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Alasan’ Buktikan Adam Nuqris Bukan Sekadar Viral

Spread the love

Dalam lambakan bakat baharu yang muncul dari dunia digital, hanya yang benar-benar punya jiwa dan cerita mampu bertahan. Dan nama Adam Nuqris kini semakin kuat bergema, bukan sekadar kerana viral, tetapi kerana keberanian membawa suara hati ke pentas arus perdana.

Mencuri perhatian lebih 68,000 pengikut di TikTok menerusi cover penuh emosi, Adam kini melangkah setapak lagi dengan pelancaran single debutnya, Alasan sebuah karya yang bukan sekadar sedap didengar, tetapi sarat dengan rasa.

Dengan tona vokal “serak-serak basah” yang cukup ‘menggigit’, Adam tampil berbeza. Dia bukan sekadar menyanyi, tetapi bercerita. Dari hip-hop ke rock, setiap lenggok suaranya membawa identiti tersendiri hingga pernah menarik perhatian artis seperti Zynakal dan Yonnyboii.

Siapa sangka, di sebalik aura bintang yang mula menyinar, Adam pernah menjalani kehidupan biasa  menggunting rambut dan berniaga makanan di Kampung Baru demi kelangsungan hidup.

Namun, minat terhadap muzik tidak pernah padam. Belajar sendiri bermain gitar, Adam mengasah bakat melalui sesi jamming bersama rakan-rakan dan persembahan kecil sejak usia muda. Malah, sejak zaman sekolah lagi dia sudah berani tampil membuat persembahan spontan bersama Dannqrack.

“Semua yang saya lalui bentuk siapa saya hari ini. Saya tak pernah datang dari latar belakang sempurna, tapi dari situlah datangnya kejujuran dalam muzik,” katanya jujur.

Segalanya bermula dengan satu rakaman pendek hanya 30 saat yang dimuat naik secara santai di TikTok. Namun siapa sangka, klip itu menjadi pencetus kepada kelahiran Alasan.

“Bila orang mula ‘connect’, saya sedar ini bukan sekadar rakaman biasa. Ini cerita yang perlu disampaikan sepenuhnya,” ujar Adam.

Dicipta oleh Kidd Santhe dan ditulis bersama Adam, Saixse serta Altimet (Mambang), Alasan membawa nuansa hip-hop dengan sentuhan trap moden yang segar.  Namun, kekuatan sebenar lagu ini terletak pada mesejnya bukan sekadar kisah cinta yang retak, tetapi perjalanan emosi tentang keletihan, kejujuran dan keberanian untuk memilih diri sendiri.

“Kadang-kadang kita bertahan terlalu lama. Tapi bila kita pilih untuk pergi, itu bukan kalah itu berani,” katanya lagi penuh makna.

Lebih menarik, video muzik rasmi Alasan turut diolah dengan sentuhan sinematik oleh pengarah kreatif Kripxen. Visual yang sarat simbolik itu berjaya menghidupkan lagi emosi lagu, menjadikan ia bukan sekadar halwa telinga, tetapi pengalaman rasa.

Di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, pelancaran Alasan menjadi titik mula penting buat Adam Nuqris dalam industri muzik tanah air.

Kini, Alasan sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman digital dan YouTube.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page