April 27, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Senariounion Satukan 5,000 Jiwa, Tribute Hamdan Jadi Air Mata Paling Jujur

Spread the love

Tiga dekad berlalu, namun aura Senario masih utuh dan tidak pernah pudar. Nama yang pernah mencetus fenomena besar sejak era 1990-an itu sekali lagi membuktikan pengaruh mereka masih ampuh apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 5,000 peminat pelbagai generasi menerusi Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 25 April lalu.

Konsert anjuran Dreamscape Events bersama Kapla Entertainment itu bukan sekadar persembahan hiburan biasa, sebaliknya pesta nostalgia yang menyatukan peminat lama dan baharu dalam satu malam penuh warna-warni.

Seawal pembukaan, dewan sudah bergema dengan sorakan apabila muzik tema Dambaan Chaan N The Gang dimainkan sebagai intro kemunculan Senariounion. Lagu berkenaan yang diadaptasi daripada Axe Gang Anthem dalam filem Kung Fu Hustle membangkitkan keterujaan luar biasa penonton.

Tidak lama kemudian, Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya melangkah penuh gaya ke pentas utama, disambut laungan gemuruh ribuan peminat yang sudah lama menantikan detik itu.

Tanpa menunggu lama, mereka terus memecah suasana menerusi lagu Kerja diikuti Cinta Sate, sekali gus menjadikan arena bertukar gamat apabila penonton menyanyi dan bergoyang bersama di tempat duduk masing-masing.

Momentum diteruskan dengan deretan lagu popular seperti Boria Miskin Kaya, Dikir Barat Siang Malam, Kerja Baik Kerja Jahat, Cari Tapak, Lap Lip Lap, Sebelum dan Sesudah serta rangkaian lagu raya yang cukup dekat di hati peminat.

Jelas, Senario bukan sekadar kumpulan lawak. Mereka adalah sebahagian memori kolektif rakyat Malaysia yang membesar dengan sitkom, filem dan lagu-lagu mereka sejak lebih 30 tahun lalu.

Setiap segmen disambut luar biasa apabila penonton tidak henti ketawa, menyanyi dan bersorak. Malah, ramai yang hadir bersama keluarga membuktikan karya Senario merentasi generasi.

Turut mencuri perhatian apabila mereka mempersembahkan lagu baharu berjudul Bila Lagi Nak Jumpa, seolah-olah simbolik pertemuan semula antara Senariounion dan peminat setia selepas sekian lama.

Di sebalik kemeriahan yang tercipta, malam bersejarah itu turut menghadirkan momen paling menyentuh hati apabila Senariounion menampilkan segmen tribute khas buat Allahyarham Hamdan.

Suasana bertukar hening apabila anak Allahyarham, Muhamad Syazreen Haqeem, dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan lagu Doa Untuk Ayah.

Ramai penonton dilihat mengesat air mata, malah ada yang berdiri memberikan penghormatan sebagai tanda kasih kepada insan yang pernah menceriakan hidup mereka.

Azlee berkata, kehilangan Hamdan tidak pernah memadamkan kasih sayang mereka terhadap keluarga arwah.

“Kami kehilangan seorang sahabat, tetapi kami tak pernah melupakan keluarganya. Kalau arwah masih ada, dia tetap bersama kami malam ini.”

Dalam satu lagi momen penuh makna, Senariounion turut menyerahkan trofi kemenangan Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang dimenangi pada 2024 kepada keluarga Allahyarham sebagai simbol penghargaan.

Apa yang lebih mengujakan, konsert berkenaan bukan hanya dipenuhi jenaka spontan dan lagu popular mereka, malah turut menghadirkan kejutan istimewa apabila penyanyi terkenal Aina Abdul muncul sebagai artis jemputan.

Kemunculan Aina nyata mencuri perhatian apabila tampil berbeza daripada kebiasaan dengan menyertai Senariounion membawakan lagu irama tradisional dan zapin.

Bintang bersuara lantang itu memukau penonton menerusi persembahan Joget Toleh Menoleh, sebelum berduet bersama Senariounion menerusi lagu Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik.

Gabungan vokal mantap Aina bersama aura santai anggota Senariounion menjadikan segmen itu antara paling meriah sepanjang malam. Ramai peminat tidak menyangka penyanyi yang sinonim dengan balada dan persembahan berkelas tinggi itu sanggup “turun padang” berzapin bersama kumpulan komedi legenda berkenaan.

Menjelang penghujung persembahan, Senariounion menutup malam penuh nostalgia itu dengan tiga lagu kegemaran ramai iaitu Aspalela, Sebelum dan Sesudah serta Cari Tapak.

Suasana arena terus bertukar luar biasa gamat apabila ribuan penonton bangun menyanyi, menari dan bersorak seakan enggan membiarkan malam berakhir begitu sahaja. Sorakan gemuruh, gelak tawa dan nyanyian beramai-ramai menjadikan penutup konsert itu antara momen paling havoc serta sukar dilupakan peminat yang hadir.

Apa yang berlaku malam itu jelas membuktikan kuasa karya rakyat masih mampu menyatukan pelbagai lapisan usia. Di tengah dunia hiburan moden yang pantas berubah, Senario hadir mengingatkan bahawa tawa yang ikhlas, lagu yang dekat dengan rakyat dan persahabatan yang jujur tidak pernah lapuk ditelan zaman.

The Last Kopek bukan noktah, sebaliknya satu penegasan bahawa nama Senario akan terus hidup dalam hati peminat selama-lamanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page