MADAM Lancar Album Sulung, Pertaruh Jiwa Rock Generasi Baharu
Selepas bertahun mengasah nama dalam arus muzik tempatan, band rock tempatan, MADAM akhirnya melangkah ke fasa lebih besar apabila tampil dengan album sulung berjudul MADAM : The Album yang dilancarkan secara rasmi pada 22 April lalu.
Kemunculan naskhah sulung itu dianggap sebagai detik penting buat kumpulan berkenaan yang sejak awal dikenali dengan keberanian meneroka pelbagai warna bunyi serta semangat konsisten dalam menghasilkan karya sendiri.
MADAM yang membawa maksud Men of Another Day Another Music mula ditubuhkan pada 2019 sebelum aktif menggerakkan perjalanan seni mereka pada 2020. Sejak itu, kumpulan berkenaan tidak menoleh ke belakang dalam membina identiti tersendiri dalam landskap muzik rock tempatan.

Album berkenaan menampilkan lapan lagu original yang ditulis dan diterbitkan sepenuhnya oleh ahli kumpulan sendiri. Mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, karya itu menyatukan elemen modern rock, alternative rock, pop rock dan soft rock dalam satu pakej yang segar serta emosional.
Bukan sekadar menonjolkan kekuatan muzik, album ini turut membawa pelbagai tema berkaitan cinta, hubungan dan konflik peribadi. Setiap lagu disusun dengan naratif berbeza, sekali gus memberi pengalaman pendengaran yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pendengar.

Single fokus berjudul Antara Garisan dipilih sebagai taruhan utama. Lagu berkenaan menyelami kisah kekecewaan dalam hubungan yang dibaluti penipuan dan ilusi, selain menggambarkan keberanian seseorang membuka mata terhadap hakikat sebenar walaupun pahit untuk diterima.
Dengan lirik puitis dan susunan muzik bertenaga, lagu itu diyakini mampu menjadi antara karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat muzik tempatan.
Lebih menarik, keseluruhan album ini dihasilkan menerusi pendekatan DIY apabila MADAM menguruskan sendiri setiap proses daripada penulisan, rakaman hinggalah penerbitan. Langkah berani itu menjadi simbol kematangan kumpulan terbabit dalam bergerak secara bebas dan berdikari.

Vokalisnya, Putera Muhammad berkata, album berkenaan lahir daripada semangat dan kesungguhan seluruh anggota kumpulan serta sokongan ramai pihak.
“Album ini lahir daripada passion semua orang dan mustahil dapat direalisasikan tanpa sokongan mereka. Kami harap album ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan MADAM dalam industri,” katanya.

Album itu diedarkan oleh Sony Music Malaysia serta menerima sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah program Dana Kandungan Kreatif. Astro Gempak pula tampil sebagai rakan digital rasmi.
Dengan kelahiran MADAM : The Album, kumpulan itu kini bersedia membuka lembaran baharu, sekali gus membawa suara dan identiti rock mereka ke pentas lebih besar.
