Penghormatan Tertinggi Aubrey Buat Noh Salleh

Penyanyi itu menganggap kepercayaan pengarah muzik tersohor berkenaan sebagai pengiktirafan perjalanan seni selama 20 tahun, selain memasang impian menjadikan konsert orkestra itu acara tahunan.
BUKAN sekadar peluang mempersembahkan karya sendiri dengan iringan orkestra, sebaliknya satu penghormatan besar yang cukup bermakna dalam perjalanan seni selama dua dekad.
Itulah pengiktirafan yang dirasakan penyanyi dan komposer, Noh Salleh, 41, apabila diberi kepercayaan oleh pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito untuk menjayakan konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pada 8 November ini.
Bagi Noh, tawaran berkenaan cukup istimewa kerana Aubrey bukan sahaja menghormati perjalanan muziknya, malah mahu memastikan identiti serta karakter muzik yang selama ini menjadi kekuatannya terus dikekalkan dalam susunan orkestra.
Malah, Noh mendedahkan Aubrey mahu elemen French pop yang sinonim dengan muziknya terus menjadi sebahagian daripada persembahan, tanpa ditenggelamkan oleh kemegahan susunan orkestra.

“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra adalah sebuah penghormatan tertinggi buat saya kerana Aubrey Suwito yang saya segani datang dan melahirkan idea ini kepada saya.
“Aubrey beritahu tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini. Beliau masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen French pop, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” katanya.
Noh berkata demikian ketika ditemui pada sesi persiapan menjelang konsert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Menurutnya, pendekatan Aubrey membuktikan bahawa perubahan skala muzik tidak semestinya memerlukan seseorang artis meninggalkan identiti asal, sebaliknya membuka ruang untuk meneroka sisi berbeza dalam penghasilan muzik.
Malah, pelantun lagu Angin Kencang itu turut memasang impian untuk menjadikan konsert berkenaan sebagai acara tahunan.
Bagaimanapun, Noh mengakui cabaran terbesar adalah memastikan setiap edisi menawarkan kelainan serta peningkatan kualiti berbanding persembahan sebelumnya.
“Saya cuba untuk buat konsert ini menjadi sesuatu yang tahunan. Tetapi perjuangannya adalah untuk memastikan setiap tahun ada kelainan daripada tahun sebelumnya.
“Ini percubaan kedua untuk mengadakan konsert Noh Salleh. Biasanya persembahan saya lebih bersifat akustik dengan sebuah band. Saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya.
Mengulas pengisian konsert, Noh bakal mempersembahkan sekitar 21 lagu yang diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik Aubrey bersama orkestra.
Malam istimewa itu turut menyaksikan penyanyi berkenaan berkongsi pentas dengan Aina Abdul, rakan kolaborasinya menerusi lagu Sang Penikam.
Bagaimanapun, Noh tidak menyembunyikan hasrat untuk mengundang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi jemputan bagi memeriahkan konsert berkenaan.
Katanya, impian itu bukan didorong populariti Siti, sebaliknya sebagai tanda penghargaan terhadap penyanyi berkenaan yang banyak memberikan ruang dan peluang kepadanya dalam perjalanan seni, termasuk menerusi Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza pada Januari lalu.
“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul. Tapi itu memang impian kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya.
“Jadi dalam banyak keadaan saya memang akan dahulukan Siti Nurhaliza, ia umpama sebuah tindakan sopan daripada saya.
“Misalnya jika beliau setuju, saya beri ‘dulang lagu’, minta dan beri kebebasan beliau pilih sendiri lagu apa yang mahu dinyanyikan,” katanya sambil ketawa.
Dianjurkan bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, Cadenza of the Soul bakal menjadi konsert solo orkestra kedua buat Noh selepas pernah mengadakan persembahan bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu.

Tiket ditawarkan pada harga RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP termasuk sesi Meet & Greet) dan RM788 (Twin Seat, Suite Room 1-4).
Tiket boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my atau www.fantopia.io.
