1,800 Tiket Licin, Insomniacks Buka Langkah Ke Pentas Antarabangsa

Kejayaan menjual habis 1,800 tiket showcase terakhir jelajah album sulung KAMI INSOMNIACKS di Kuala Lumpur menjadi bukti kukuh perkembangan positif kumpulan Insomniacks dalam industri muzik tempatan.
Lebih daripada sekadar menutup tirai jelajah, pencapaian itu hadir ketika kumpulan berkenaan bersedia melangkah ke fasa lebih besar dalam perjalanan seni mereka apabila bakal diberi peluang menjadi artis pembuka persembahan kumpulan pop rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer (5SOS).
Insomniacks bukan sahaja berjaya membawa lagu baharu lebih dekat dengan peminat, malah menyaksikan Maniacks menyanyikan bersama karya yang dipersembahkan buat pertama kali secara langsung.
Showcase itu turut menampilkan Yonnyboii, XONE dan Irfan Haris sebagai artis jemputan yang menambah warna kepada persembahan penutup jelajah berkenaan.

Album KAMI INSOMNIACKS yang dilancarkan pada 30 Oktober lalu mengandungi 12 lagu dengan mengetengahkan kisah cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri. Ia turut menampilkan kolaborasi bersama Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.
Menariknya, perjalanan Insomniacks menuju kejayaan ini bukan dibina dalam tempoh singkat. Selepas hampir 11 tahun mewarnai industri muzik tempatan, album berkenaan menjadi manifestasi kematangan mereka dalam membentuk identiti muzik sendiri.
Malah, sambutan terhadap jelajah pra-album itu sudah memperlihatkan petanda positif apabila persembahan di Johor Bahru pada 3 Oktober lalu turut mencatat jualan tiket habis dengan kehadiran lebih 300 penonton.

Peluang berkongsi pentas dengan 5SOS pastinya mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Insomniacks memandangkan kumpulan dari Australia itu menjadi antara inspirasi utama mereka sejak awal pembabitan dalam muzik.
Lebih menarik, Insomniacks pernah menghasilkan lagu saduran (cover) Broken Home dan Amnesia yang cukup sinonim dengan perjalanan awal kumpulan berkenaan.
Bagi Insomniacks, peluang berkenaan bukan sekadar satu lagi persembahan besar, sebaliknya menjadi detik istimewa apabila mereka berpeluang berdiri di pentas yang pernah menjadi impian sejak mula mengagumi muzik 5SOS.
Mengimbas kembali perjalanan jelajah KAMI INSOMNIACKS, kekuatan utama kumpulan itu jelas terletak pada hubungan yang dibina bersama peminat.
Setiap persembahan memberikan pengalaman berbeza, terutama apabila Maniacks bukan sekadar hadir untuk mendengar lagu kegemaran, malah turut menyanyikan karya baharu yang pertama kali dipersembahkan secara langsung.

Kehadiran Yonnyboii, XONE dan Irfan Haris sebagai artis jemputan turut memberikan variasi kepada persembahan di Kuala Lumpur.
Selain menikmati persembahan, peminat juga berpeluang mendapatkan beg messenger edisi eksklusif Insomniacks serta barangan rasmi lain termasuk rantai kunci, tampalan iron-on dan koleksi terdahulu.

Jelajah berkenaan dikuasakan OPPO dengan ERA sebagai rakan radio, manakala GALLANT GUARD SERVICES bertindak sebagai rakan logistik. Minuman cuka SURYA turut ditawarkan kepada pengunjung sepanjang acara.
Apa yang jelas, kejayaan menjual 1,800 tiket di Kuala Lumpur menjadi penutup bermakna buat Insomniacks selepas hampir 11 tahun membina nama dalam industri muzik tempatan.
Kini, dengan album sulung KAMI INSOMNIACKS sudah menemui pendengar dan peluang membuka tirai persembahan 5SOS semakin hampir, Insomniacks mempunyai satu lagi pentas penting untuk membuktikan kemampuan mereka.
Daripada sekumpulan anak muda yang pernah mengagumi muzik 5SOS, kini tiba masanya Insomniacks pula memperkenalkan karya dan identiti muzik mereka kepada khalayak lebih luas.
