‘Orang Perang’ Bongkar Keberanian Wira Rimba

Dari hutan belantara ke layar perak, kisah masyarakat Semai dan Senoi Praaq kembali menghidupkan sejarah perjuangan menentang komunis
Hutan bukan sekadar rimba yang sunyi, sebaliknya pernah menjadi medan perang yang menyimpan jeritan, darah, kehilangan dan keberanian manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah kelahiran.
Daripada denyut nadi sejarah itulah lahir Orang Perang, filem epik aksi arahan Hashim Rejab yang mengangkat kisah keberanian masyarakat Orang Asli, khususnya kaum Semai dan pasukan Senoi Praaq ketika berdepan ancaman komunis pada era 1950-an.
Malam gala filem berkenaan yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur, 28 September lalu, menjadi detik penting sebelum naskhah terbabit menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.
Lebih bermakna, majlis berkenaan turut dirasmikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sekali gus memberikan dimensi kenegaraan kepada sebuah karya yang cuba membawa kembali kisah perjuangan masyarakat yang selama ini mungkin tidak begitu mendapat tempat di layar lebar.
Orang Perang diterbitkan 3Line Media Sdn Bhd bersama Nanord Studio Production, dengan sokongan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar masyarakat Semai dan mengambil latar Tanah Melayu ketika ancaman komunis menggugat keamanan penduduk.
Namun, Hashim tidak mahu menjadikan Orang Perang sekadar sebuah filem yang sarat dengan dentuman senjata, adegan pertempuran dan aksi mengejar musuh.
Sebaliknya, pengarah itu mahu penonton melihat wajah manusia di sebalik peperangan selain memaparkan tentang persahabatan yang diuji, kepercayaan yang dikhianati, kesetiaan yang dipertaruhkan serta keberanian membuat pilihan ketika nyawa sendiri berada di hujung tanduk.

Menurut Hashim, antara cabaran terbesar menghasilkan filem berkenaan ialah kekangan kewangan, namun ia tidak mematahkan semangat pasukannya untuk menghasilkan visual yang mampu menghidupkan suasana zaman tersebut.
“Cabaran utama filem ini adalah bajet. Namun, dengan bajet yang terhad, kami berjaya menghasilkan sinematografi yang cantik, disokong oleh barisan pelakon yang hebat-hebat serta komitmen penulis dan kru penggambaran yang sangat membantu sepanjang produksi.”ujarnya ketika ditemui media di malam gala tayangan filem tersebut di KLCC pada 28 September lalu.
Naskhah ini berpusat pada watak Bah Tangga lakonan Niezam Zaidi, seorang pemuda masyarakat Semai yang kehidupannya berubah selepas kampungnya di pedalaman Cameron Highlands diserang kumpulan komunis.
Bah Tangga pada awalnya dipaksa menyertai kumpulan berkenaan sebelum akhirnya melarikan diri ke hutan. Dalam pelariannya, dia bertemu Jungle Squad pimpinan Inspektor Syed Zainal yang dilakonkan Fauzi Nawawi.

Pertemuan itu perlahan-lahan mengubah pandangannya terhadap masyarakat Melayu dan pasukan keselamatan sebelum Bah Tangga akhirnya menjalani latihan untuk menyertai Senoi Praaq.
Di sinilah kepakaran masyarakat Orang Asli dalam menguasai rimba menjadi senjata penting. Kemahiran membaca jejak, mengenali selok-belok hutan dan menjejaki pergerakan musuh menjadi kelebihan dalam perjuangan memburu kumpulan komunis. Namun, perjuangan Bah Tangga tidak semudah menarik picu senapang.
Dia kembali berdepan dilema apabila bertemu sahabat lamanya, Bah Pelangkin lakonan Ammar Alfian, yang kini berada di pihak komunis. Pertembungan dua sahabat itu menjadi nadi emosi cerita apabila persahabatan, dendam, kesetiaan dan keinsafan bertembung dalam satu medan yang tidak mengenal belas kasihan.
Menariknya, Orang Perang turut mengetengahkan hubungan antara masyarakat Orang Asli, pasukan keselamatan dan individu daripada latar berbeza dalam usaha membina kepercayaan serta mencapai keamanan.

Justeru, kekuatan filem ini bukan semata-mata terletak pada adegan pertempuran, tetapi bagaimana ia mengangkat masyarakat yang hidup dekat dengan alam dan akhirnya memainkan peranan penting dalam mempertahankan keselamatan negara.
Selain Niezam Zaidi dan Ammar Alfian, filem ini turut menampilkan Syazwan Zulkifli, Adam Corrie, Hairi Safwan, Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.
Penggambaran pula dilakukan di beberapa lokasi termasuk Perdik Fall, Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia, Semenyih, dengan latar hutan serta perkampungan digunakan untuk menghidupkan suasana Tanah Melayu era 1950-an.
Tidak cukup dengan visual dan aksi, perjalanan Orang Perang turut diperkukuh menerusi lagu runut bunyi asal, Sumpah Leluhur, yang menyatukan vokal Niezam Zaidi bersama Elly Langkasuka.
Lagu ciptaan Achoi Floor 88 itu mengangkat tema kasih, kerinduan, penantian dan pengorbanan, sekali gus memberikan sisi lebih lembut kepada sebuah cerita yang dikelilingi peperangan dan kematian.

Dalam dunia yang dipenuhi senjata, ada insan yang hanya mampu menunggu, dalam rimba yang dipenuhi musuh, ada mereka yang memilih untuk berdiri dan dalam sejarah yang mungkin semakin dilupakan, ada nama-nama yang pernah mempertaruhkan segala-galanya agar tanah yang mereka cintai terus aman. Itulah taruhan Orang Perang.
Bukan sekadar mahu mengajak penonton menyaksikan perang di tengah rimba, tetapi menyelami keberanian mereka yang memilih untuk melawan ketika pilihan lain semakin mengecil.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.
