“Mutiara Dalam Debuan Kabus” Cipta Fenomena di Astro RIA
Rumah produksi SR One Sdn. Bhd. sekali lagi mencuri perhatian peminat drama tempatan menerusi karya terbaharu berjudul Mutiara Dalam Debuan Kabus, yang kini hangat bersiaran di saluran Astro RIA setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam melalui slot MegaDRAMA.
Drama 24 episod ini diterbitkan oleh penerbit prolifik Siti Rosmizah dan diarahkan oleh Harris Fadzillah. Ia merupakan adaptasi daripada novel popular karya Siti Rosmizah sendiri, yang juga kesinambungan kepada novel Dedaun Hijau Di Angin Lalu.
Menariknya, drama ini mempertemukan dua nama besar tanah air, Zahiril Adzim dan Emma Maembong, dalam satu kolaborasi pertama mereka di layar kaca. Zahiril tampil menghidupkan watak Uzzam Zulkarnaian – seorang lelaki keras hati yang sarat dengan kemarahan selepas diperangkap hingga terpaksa menikahi Aslin (lakonan Emma).

Aslin pula digambarkan sebagai seorang wanita yang penuh muslihat dan enggan mengalah. Dia menjalani kehidupan berumah tangga dengan Uzzam penuh kebiadaban dan dendam, selagi perjanjian perkahwinan yang dimeterai antara mereka belum disudahi.
Sejak tayangan perdananya pada 6 Oktober lalu, Mutiara Dalam Debuan Kabus menerima sambutan luar biasa daripada penonton yang geram dengan sikap manipulatif Aslin dan keluarganya yang tamak haloba. Watak Uzzam yang dimainkan dengan penuh penghayatan oleh Zahiril turut dipuji kerana berjaya menonjolkan emosi seorang lelaki yang berjuang mempertahankan maruah dan hartanya.
Walaupun konfliknya dilihat klise, tema yang diketengahkan amat dekat dengan realiti masyarakat – memperlihatkan bagaimana dendam, cinta dan penipuan boleh memusnahkan kehidupan.
Dengan rekod cemerlang SR One Sdn. Bhd. dalam menghasilkan drama-drama popular sebelum ini, Mutiara Dalam Debuan Kabus diyakini menjadi satu lagi karya wajib tonton. Pemilihan pelakon hebat seperti Zahiril dan Emma menjadi tarikan utama, disokong oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Watie Elite, Jasmin Hamid, Safura Ya’akob, Natasya Mahyan, Khaty Azian, Manan Sulaiman dan Faye Kusairi.

SINOPSIS
Kisah bermula apabila seorang wanita cantik ditemui parah akibat kemalangan langgar lari. Setelah sedar daripada koma, dia kehilangan ingatan sepenuhnya dan dikenali sebagai Aslin — isteri kepada Uzzam Zulkarnain. Namun, perkahwinannya dingin dan retak menanti belah. Ketika berusaha memperbaiki rumah tangga, Aslin mula menyedari sesuatu yang tidak kena. Dia sebenarnya bukan isteri Uzzam.
Lebih mengejutkan, seseorang sedang memerhatikannya dalam diam, manakala pihak lain pula sanggup melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya. Identiti sebenar wanita itu akhirnya terbongkar – namanya ialah Airina. Kini, dia terperangkap dalam kekeliruan antara dua identiti dan tekad mencari kebenaran tentang siapa dirinya yang sebenar, walau harus berdepan bahaya yang mengancam nyawa.
Jangan lupa saksikan “Mutiara Dalam Debuan Kabus” setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro RIA — sebuah drama penuh konflik, rahsia dan penebusan diri.
