July 28, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Masih Ada ‘Jalan Pulang’ Buat Yang Pernah Tersasar

Spread the love

Ustaz 3 Beradik tampil dengan karya penuh jiwa, mengingatkan setiap insan bahawa pintu taubat tidak pernah tertutup selagi nyawa masih dikandung badan.

Dalam kehidupan yang semakin mencabar, ramai memilih untuk menyembunyikan luka di sebalik senyuman. Di mata orang lain mereka kelihatan kuat, namun hakikatnya ramai sedang bergelut dengan rasa bersalah, kecewa, kegagalan dan persoalan sama ada masih ada peluang untuk memperbaiki diri.

Berangkat daripada realiti itu, kumpulan nasyid Ustaz 3 Beradik hadir dengan single terbaharu berjudul Jalan Pulang, sebuah karya yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi membawa mesej yang mampu menyentuh hati mereka yang sedang mencari sinar baharu dalam kehidupan.

Diterbitkan oleh NAR Records dan dilancarkan pada 24 Julai lalu, Jalan Pulang mengangkat tema taubat, pengampunan serta kasih sayang Allah SWT yang tidak pernah bertepi. Lagu ini hadir sebagai peringatan bahawa sejauh mana sekalipun seseorang tersasar daripada landasan, pintu untuk kembali sentiasa terbuka.

Lebih daripada sebuah lagu, Jalan Pulang menjadi suara yang memujuk mereka yang pernah tersungkur agar tidak terus dihukum oleh masa silam. Sebaliknya, ia mengajak setiap pendengar melihat kesilapan sebagai proses pembelajaran dan permulaan kepada sebuah kehidupan yang lebih bermakna.

Dengan lirik yang puitis serta alunan melodi yang lembut tetapi mengusik emosi, lagu ini menyampaikan persoalan yang sering menghantui ramai insan, adakah seseorang masih layak diterima selepas terlalu banyak melakukan kesilapan?

Bagi Ustaz 3 Beradik, persoalan itu sebenarnya menjadi antara kegelisahan terbesar masyarakat hari ini, terutama dalam era yang dipenuhi tekanan hidup, kecelaruan emosi dan krisis keyakinan diri.

“Ada orang yang mahu berubah, tetapi terlalu malu dengan sejarah hidupnya. Ada juga yang merasakan kesilapannya terlalu besar sehingga tidak lagi layak untuk kembali kepada Tuhan. Melalui Jalan Pulang, kami mahu menyampaikan bahawa kesilapan bukanlah pengakhiran. Selagi masih ada kesedaran dan keinginan untuk berubah, selagi itulah masih ada jalan untuk pulang,” kata mereka.

Kenyataan itu menjadi nadi utama lagu berkenaan, yang mengajak pendengar agar tidak berputus asa dengan rahmat Allah, walau sebesar mana pun dosa yang pernah dilakukan.

Komposer dan penulis liriknya, Adi Pawana, berkata idea menghasilkan lagu tersebut lahir daripada pemerhatian terhadap sikap segelintir masyarakat yang merasakan mereka perlu menjadi insan sempurna sebelum kembali kepada Tuhan.

“Ramai beranggapan mereka perlu menjadi sempurna sebelum kembali kepada Tuhan. Sedangkan hakikatnya, kita kembali kepada Tuhan kerana kita belum sempurna,” katanya.

Keistimewaan Jalan Pulang bukan sahaja terletak pada mesejnya yang mendalam, malah cara penyampaiannya yang bersifat universal. Tanpa bersifat menghakimi atau terlalu berat dengan bahasa keagamaan, lagu ini mudah menyentuh hati sesiapa sahaja yang pernah merasai kegagalan, kehilangan, penyesalan mahupun keinginan untuk memulakan hidup baharu.

Dari aspek muzik, karya ini menampilkan sentuhan nasyid moden yang lebih sinematik, sekali gus memberikan nafas segar kepada genre tersebut tanpa menghilangkan identiti dakwah yang menjadi kekuatan Ustaz 3 Beradik sejak penubuhannya.

Jalan Pulang diterbitkan oleh Rudy Nastia bersama Adi Pawana, manakala susunan muzik dihasilkan oleh Farez Asmadi yang berjaya membina suasana mendamaikan dan penuh penghayatan sepanjang lagu berlangsung.

Ditubuhkan pada 2018, Ustaz 3 Beradik yang dianggotai Ustaz Zarifi Daud, Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Ihsan Daud bukan sahaja dikenali menerusi lagu-lagu nasyid kontemporari, malah aktif sebagai pendakwah, panel televisyen dan radio serta penulis buku.

Reputasi mereka turut diperkukuhkan menerusi pelbagai pengiktirafan termasuk muncul Juara Anugerah Carta Nasyid IKIM 2025, tersenarai dalam Top 5 Lagu Nasyid Terbaik AIM 2025, Top 5 Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik AIM 2025 serta memenangi kategori Persembahan Terbaik Anugerah Carta Nasyid IKIM 2025.

Dengan komuniti digital yang mencatat lebih 2.7 juta interaksi, Ustaz 3 Beradik terus membuktikan muzik mampu menjadi medium dakwah yang dekat dengan jiwa masyarakat moden, terutama generasi muda yang mencari pendekatan lebih santai tetapi penuh makna.

Melalui Jalan Pulang, mereka berharap setiap pendengar memahami bahawa rahmat Allah sentiasa mengatasi segala kesilapan manusia. Selagi hati masih ingin berubah dan langkah masih mahu diatur ke arah kebaikan, selagi itulah akan sentiasa ada jalan untuk pulang.

Single Jalan Pulang kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi NAR Music Channel.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page