Kidd Santhe lancar ‘Aku Level Lain’, raikan identiti Malaysia

Selepas mencipta kejayaan di pentas antarabangsa menerusi lagu “Naa Vera Level”, penyanyi hip-hop tempatan Kidd Santhe kembali dengan single terbaharu berjudul “Aku Level Lain”, yang menampilkan kolaborasi bersama RxF Rhaled.
Lagu tersebut merupakan karya yang diolah semula dengan interpretasi baharu yang meraikan identiti, bahasa dan budaya Malaysia, selain menggabungkan elemen dialek Kelantan, Bahasa Melayu dan budaya India Malaysia.
Kemunculan “Aku Level Lain” menyusul selepas kejayaan “Naa Vera Level”, lagu kedua daripada album Kidd Santhe yang bakal dilancarkan, “Mr. Crorepati”.
Diterbitkan di bawah Kidd Next Door Productions dan Sony Music Entertainment Malaysia, dengan sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South, “Naa Vera Level” berjaya meraih lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh empat hari selepas dilancarkan.
Kejayaan tersebut turut membawa Kidd Santhe ke Chennai, India, bagi siri promosi khas dan liputan media tempatan.

Menurut Kidd Santhe, pengalaman yang diraih di India menjadi inspirasi utama kepada penghasilan “Aku Level Lain”.
“‘Naa Vera Level’ membuka banyak peluang yang tidak disangka. Pengalaman itu membuat saya sedar muzik boleh merentasi sempadan tanpa kehilangan identiti. Sebab itu saya hasilkan ‘Aku Level Lain’ untuk meraikan Malaysia, bahasa kita dan budaya kita. RxF Rhaled pula melengkapkan lagu ini dengan warna Pantai Timur yang sangat asli,” katanya.
RxF Rhaled, yang merupakan antara bakat hip-hop yang semakin menyerlah dari Pantai Timur dan ahli kolektif WRGA yang popular di TikTok, membawa keunikan tersendiri menerusi penggunaan dialek Kelantan dalam lagu tersebut.
Kolaborasi itu sekali gus mengetengahkan kekuatan dialek tempatan dalam konteks muzik hip-hop moden.
Sementara itu, video muzik rasmi “Aku Level Lain” diarahkan oleh Veshaan Raj dan Kripxen, dengan keseluruhan penggambaran dijalankan di Kelantan.
Pemilihan negeri itu sebagai lokasi penggambaran bertujuan menampilkan keindahan landskap serta seni budaya masyarakat Pantai Timur melalui pendekatan visual moden.
Penerbitan “Aku Level Lain” turut mendapat sokongan di bawah Program Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik 2026 daripada MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi.
Single “Aku Level Lain” berserta video muzik rasminya akan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 31 Julai 2026.
