Tiket Konsert Mangu di KL Kini Kritikal, Peminat Diminta Bertindak Segera

Rockstage Entertainment keluarkan ‘Amaran’, beberapa kategori tiket hampir habis menjelang konsert 15 Ogos di Zepp Kuala Lumpur
Demam Konsert Mangu di Kuala Lumpur kini benar-benar memuncak apabila pihak penganjur, Rockstage Entertainment, mengeluarkan notis ‘last call’ kepada peminat selepas jualan tiket dilaporkan hampir habis.
Kurang tiga minggu sebelum konsert berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Ogos ini, beberapa kategori tiket termasuk Rock Zone dan tempat duduk premium sudah hampir kehabisan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa malam berkenaan bakal menyaksikan dewan dipenuhi ribuan peminat.
Situasi itu sekali gus menjadikan Konsert Mangu antara acara muzik yang menerima sambutan paling hangat menjelang pertengahan tahun ini apabila peminat dari Malaysia dan negara jiran tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan eksklusif yang hanya berlangsung untuk satu malam.
Menurut Rockstage Entertainment, kadar pembelian tiket sejak jualan dibuka menunjukkan momentum luar biasa sehingga beberapa kategori kini berada pada tahap kritikal.
“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan. Sokongan luar biasa ini membuktikan peminat sentiasa menghargai konsert yang menawarkan pengalaman muzik berkualiti.
“Dengan jumlah tiket yang semakin berkurangan, kami benar-benar berharap peminat tidak menunggu sehingga saat akhir. Kami tidak mahu ada yang kecewa apabila semua tiket habis dijual,” ujar Talib Othman selaku penganjur.
Keterujaan peminat bukan tanpa alasan. Konsert Mangu menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang berbeza apabila tampil dengan produksi audio dan visual bertaraf tinggi yang direka khas untuk memberikan pengalaman imersif kepada penonton.
Kemunculan Ari Lesmana sebagai bintang utama pastinya menjadi tarikan terbesar. Penyanyi dan penulis lagu yang cukup berpengaruh itu bakal membawa deretan karya popular yang dekat di hati peminat, sekali gus menjadikan malam berkenaan penuh dengan momen yang sukar dilupakan.
Lebih istimewa, persembahan Ari akan diperkukuhkan menerusi kolaborasi eksklusif bersama DJ Firza yang bakal menyuntik elemen muzik elektronik ke dalam persembahan, menghasilkan sebuah gandingan segar yang jarang disaksikan peminat.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi muda berbakat, Enau, manakala MC Millvrd akan mengemudi acara sebagai hos sepanjang malam.
Gabungan nama-nama tersebut diyakini mampu menghadirkan sebuah persembahan yang bukan sahaja bertenaga, malah berpotensi menjadi antara konsert paling diperkatakan sepanjang tahun 2026.
Dalam pada itu, Rockstage Entertainment turut mengingatkan orang ramai supaya hanya mendapatkan tiket menerusi portal rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penjualan tiket palsu yang lazimnya semakin aktif apabila sesuatu acara menghampiri status sold out.
Pihak penganjur menegaskan bahawa mereka hanya mengiktiraf pembelian yang dibuat menerusi platform rasmi dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian akibat urusan dengan penjual tidak sah.
Dengan baki tiket yang semakin mengecil, kini segala-galanya bergantung kepada kepantasan peminat. Jika terus bertangguh, tidak mustahil impian untuk menyaksikan Konsert Mangu secara langsung hanya tinggal kenangan.
Peminat boleh mendapatkan tiket sah hanya menerusi myticketempire.com
