July 6, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Mantra” Buka Tirai Emosi Gelap, Yuka Kharisma Hidupkan Jiwa Nar’sata: Sekutu Setan

Spread the love

Penyanyi dan penulis lagu, Yuka Kharisma tampil dengan penuh intensiti emosi menerusi lagu “Mantra”, runut bunyi rasmi (OST) filem seram psikologi Nar’sata: Sekutu Setan, sekali gus memperlihatkan sisi vokal yang lebih sinematik, gelap dan sarat penghayatan.

Lagu ciptaan Farouk Roman bersama penulis lirik Senna itu bukan sekadar pelengkap kepada naratif filem, sebaliknya menjadi jambatan emosi yang menghubungkan dunia visual dan pengalaman pendengar.

Yuka berkata, tawaran untuk menyanyikan “Mantra” hadir sebagai satu peluang yang sukar ditolak apabila beliau merasakan lagu tersebut mempunyai identiti yang kuat sejak pertama kali diperkenalkan.

“Selepas mendengar penerangan mengenai filem Nar’sata dan hala tuju muzik yang diinginkan, saya terus merasakan satu hubungan yang kuat dengan lagu ini,” katanya.

Menurutnya, kekuatan utama “Mantra” terletak pada sifat muziknya yang haunting, misteri dan puitis, namun masih sarat dengan lapisan emosi yang dalam.

“Lagu ini bukan sekadar sedap didengar, tetapi mempunyai ‘nyawa’. Ia membuatkan pendengar tenggelam dalam emosi dan dunia yang cuba dibina,” katanya.

Mengulas makna di sebalik lagu tersebut, “Mantra” membawa tema pergolakan jiwa, kehilangan, harapan serta kekuatan batin manusia dalam berdepan luka emosi yang terpendam.

Ia mengangkat kisah kesakitan yang dipendam terlalu lama, namun masih disulami sisa harapan untuk terus bertahan.

“Saya mahu pendengar bukan sekadar mendengar melodinya, tetapi benar-benar merasai perjalanan emosi yang cuba disampaikan,” katanya.

Bagi memastikan penyampaian selari dengan dunia filem, Yuka mengambil pendekatan lebih mendalam termasuk memahami jalan cerita dan konflik dalam Nar’sata: Sekutu Setan.

“Apabila saya memahami konflik dan emosi dalam filem itu, saya lebih mudah mencari warna vokal dan gaya penyampaian yang tepat,” jelasnya.

Beliau turut mengakui cabaran terbesar ialah menyeimbangkan teknik vokal dengan intensiti emosi lagu yang sangat tinggi.

“Ada bahagian yang perlu lembut dan intim, tetapi dalam masa sama perlu penuh rasa. Saya perlu benar-benar berada dalam mood yang tepat supaya penyampaian terasa semula jadi,” katanya.

Yuka turut menyifatkan proses rakaman bersama pasukan produksi sebagai pengalaman yang positif kerana semua pihak berkongsi visi yang sama dalam menghasilkan karya berimpak.

“Kami banyak berbincang mengenai mood, emosi dan jalan cerita. Saya menghargai apabila semua orang mempunyai semangat yang sama untuk menghasilkan karya berkualiti,” katanya.

Yuka berharap “Mantra” bukan sahaja menjadi OST yang melengkapi filem, tetapi juga mampu berdiri sebagai karya muzik yang dekat di hati pendengar.

“Saya harap lagu ini boleh diterima bukan sahaja sebagai OST, tetapi juga sebagai karya yang berdiri sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak untuk terus terlibat dalam penghasilan OST pada masa akan datang kerana melihat muzik sebagai elemen penting dalam menghidupkan penceritaan sinematik.

“OST mempunyai keistimewaan tersendiri kerana muzik memberi nyawa kepada cerita,” katanya.

Dengan sentuhan emosi yang gelap, sinematik dan penuh lapisan rasa, “Mantra” dijangka menjadi nadi penting yang memperkukuh pengalaman menonton Nar’sata: Sekutu Setan, sekali gus mengangkat lagi kekuatan muzik dalam dunia filem tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page