Fazura Ubah Air Mata Menjadi ‘Kisah Terbaik’

Selepas beberapa karya yang mendapat perhatian peminat, pelakon dan penyanyi Nur Fazura kembali mempertaruhkan sisi emosinya menerusi single terbaharu berjudul Kisah Terbaik, sebuah balada yang sarat dengan mesej kekuatan, harapan dan penerimaan terhadap setiap liku kehidupan.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu cinta, Kisah Terbaik menjadi luahan peribadi Fazura yang mengangkat perjalanan seseorang daripada fasa penuh kerapuhan sehingga mampu bangkit menjadi insan yang lebih tabah.
Menurut Fazura, lagu berkenaan mempunyai hubungan yang cukup dekat dengan dirinya kerana setiap bait lirik seolah-olah menggambarkan perjalanan hidup yang pernah dilaluinya.

“Pada permulaan lagu, emosinya sangat lembut dan rapuh sebelum berkembang menjadi lebih besar serta penuh harapan. Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik.
“Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.
Fazura berkata, setiap pengalaman yang dilalui sepanjang kehidupannya banyak mengajar erti kekuatan, keikhlasan dan reda menerima segala ketentuan.
“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan.
“Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” katanya.
Menerusi Kisah Terbaik, Fazura berharap lagu itu mampu menjadi peneman kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup, selain menyuntik semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.
“Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Dibaluti melodi yang menyentuh jiwa, susunan muzik yang indah dan lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, Kisah Terbaik memperlihatkan kematangan Fazura sebagai penyanyi yang semakin berani menyampaikan kisah-kisah yang lebih jujur dan dekat dengan pengalaman manusia.
Single itu turut mengajak pendengar menerima setiap episod kehidupan, sama ada manis mahupun pahit, sebagai sebahagian daripada proses membentuk diri menjadi insan yang lebih kuat dan bermakna.
Kisah Terbaik kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
