July 5, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘DATO’ M.N47IR CIPTA 4’: Malam Sakti M. Nasir, 13,000 Peminat Jadi Saksi Keagungan Seorang Sifu

Spread the love

Lebih 40 Lagu, Tiga Jam Tanpa Henti, Kemunculan Mengejut Siti Nurhaliza Dan Sambutan Hari Lahir Ke-69 Jadikan DATO’ M.N47IR CIPTA 4 Antara Konsert Paling Bersejarah Tahun Ini

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Datuk M. Nasir sekali lagi membuktikan gelaran ‘sifu’ yang disandang bukan sekadar penghormatan, sebaliknya lahir daripada kehebatan luar biasa yang sukar ditandingi.

Pada usia 69 tahun, legenda muzik tanah air itu masih mampu berdiri hampir tiga jam di atas pentas tanpa kehilangan magisnya, memukau lebih 13,000 peminat yang membanjiri Unifi Arena, Bukit Jalil, malam tadi menerusi Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4.

Lebih istimewa, konsert yang berlangsung tepat pada tarikh kelahirannya, 4 Julai, bertukar menjadi sebuah pesta meraikan perjalanan seni seorang maestro yang selama lebih empat dekad membentuk wajah industri muzik tempatan.

Ribuan penonton sudah bersedia untuk ‘disihir’ dalam dunia ciptaan M. Nasir. Dan seperti dijangka, beliau tidak mengambil masa lama untuk ‘mengunci’ perhatian penonton. Dengan susunan lagu yang menggabungkan karya-karya ikonik daripada era 1980-an sehingga kini, arena bertukar menjadi lautan suara apabila setiap lagu dinyanyikan beramai-ramai seolah-olah sebuah koir gergasi.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu bukan sekadar meraikan ulang tahun kelahiran M. Nasir, malah menjadi penghormatan terhadap legasi luar biasa seorang komposer, penulis lirik dan penyanyi yang sudah menghasilkan ratusan karya malar segar sepanjang lebih empat dekad.

M. Nasir menghipnosis khalayak menerusi Ekspres Rakyat, disusuli Hati Emas, Perjuangan dan Aku Dah Bosan yang terus membakar semangat ribuan peminat.

Apa yang menarik, susunan persembahan kali ini cukup kreatif apabila dibahagikan kepada beberapa segmen medley yang membawa penonton mengembara merentas pelbagai era muzik tempatan.

Segmen Medley Karaoke 1 menyaksikan penonton tidak henti menyanyi bersama menerusi Sentuhan Kecundang, Sekuntum Bunga Sakura, Sampai Hati dan Azura.

Suasana kemudian bertukar lebih rancak menerusi Medley Metal Hits yang menggabungkan Fenomena, Musnah dan Pembakar Perasaan, sebelum diteruskan dengan Medley Karaoke 2 yang menghimpunkan Ukiran Jiwa, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Milik Siapakah Gadis Ini dan Jangan Kau Rayu.

M. Nasir turut membawa penonton mengimbau nostalgia menerusi gabungan lagu Masing-Masing, Lihatlah, Padang Lalang dan Empat Penjuru, sebelum meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu seperti Andai Aku Pergi Dulu/Hingga Akhir Nanti, Andalusia, Berikan Nurbisa, Tanya Sama Itu Hud Hud, Bas No 12, Gerhana, Sahabat Gua, Apokalips, Raikan Cinta, Ada, Sentuhan Listrikmu dan Mentera Semerah Padi.

Sepanjang hampir tiga jam itu, M. Nasir mempersembahkan lebih 40 buah lagu, sekali gus membuktikan betapa luasnya khazanah karya yang pernah dihasilkannya.

Konsert itu turut diserikan dengan kemunculan dua artis undangan istimewa iaitu Datuk Awie dan penyanyi serta komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

Awie tampil bertenaga menerusi Ghazal Untuk Rabiah, sebelum menghiburkan penonton dengan persembahan solo Istana Menanti.  Sementara itu, Melly Goeslaw pula memukau arena apabila bergandingan dengan M. Nasir menerusi lagu Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu, sekali gus mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Turut mencuri perhatian ialah kemunculan kumpulan De Vokalis yang berduet bersama M. Nasir menerusi lagu Andalusia dan Berikan Nurbisa.

Setiap lagu seolah-olah mengingatkan penonton bahawa di sebalik begitu banyak lagu malar segar Malaysia, ada sentuhan emas bernama M. Nasir.  Malam yang sudah cukup istimewa itu bertukar menjadi luar biasa apabila M. Nasir secara spontan membuat kejutan yang langsung tidak dijangka.

“Saya dengar Siti Nurhaliza boleh menyanyi. Kalau sudi, jemputlah naik pentas,” katanya berseloroh sambil mengundang gelak tawa dan sorakan gemuruh seluruh arena.

Wajah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dipaparkan pada skrin gergasi terus menerima sorakan tanpa henti daripada penonton.  Walaupun pada mulanya kelihatan malu-malu, Siti akhirnya bangun menyahut pelawaan figura yang dianggap antara insan seni paling dihormatinya.

“Demi seorang legenda yang sangat saya hormati, tambahan pula hari ini hari lahir beliau, saya sanggup menyanyi.  Saya akan cuba sebaik mungkin walaupun tanpa ear monitor. Ini antara lagu paling hebat pernah saya nyanyikan.  Lepas ini kita buat konsert bersama pula,” katanya sambil tersenyum.

Tanpa sebarang latihan dan persediaan, M. Nasir dan Siti menyampaikan Bagaikan Sakti dengan penuh penghayatan sehingga seluruh Unifi Arena bergema apabila ribuan peminat turut sama menyanyikan setiap bait lagu yang pernah menjadi runut bunyi filem epik Puteri Gunung Ledang itu.

Ramai yang menyifatkan persembahan spontan tersebut sebagai detik paling bernilai dalam keseluruhan konsert.

Ketika konsert menghampiri penutup, suasana sekali lagi bertukar sayu apabila pihak penganjur membuat kejutan meraikan ulang tahun kelahiran M. Nasir.

Seorang demi seorang artis yang hadir sebagai penonton dijemput naik ke pentas.  Antaranya termasuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Marsha Milan, Sherry Alhadad, Mawi, ahli kumpulan Exists, Hujan serta beberapa lagi rakan artis yang bersama-sama menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya selama ini.  Harap persembahan malam ini tidak membosankan,” katanya berseloroh sehingga mengundang gelak ketawa penonton.

Malam yang penuh emosi itu akhirnya ditutup dengan sebuah persembahan yang cukup simbolik apabila Ziana Zain kembali ke pentas bergandingan dengan M. Nasir menerusi lagu Halaman Asmara, sekali gus menutup tirai DATO’ M.N47IR CIPTA 4 dalam suasana penuh nostalgia.

Dan melihat ribuan penonton yang enggan berganjak walaupun konsert berakhir hampir tiga jam kemudian, satu perkara cukup jelas iaitu  M. Nasir bukan sekadar penyanyi atau komposer tetapi beliau ialah sebuah institusi seni yang terus diraikan merentasi generasi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page