Heidi Moru Pertaruh Emosi Mendalam Menerusi ‘Dendam’,

OST Filem Nar’sata: Sekutu Setan
Penyanyi berbakat baharu, Heidi Moru, mempertaruhkan sisi emosinya menerusi lagu Dendam, runut bunyi rasmi (OST) bagi filem Nar’sata: Sekutu Setan, yang disifatkannya sebagai karya paling dekat dengan perjalanan emosinya sendiri.
Menurut Heidi, peluang untuk menyampaikan lagu ciptaan komposer Luca Sickta, hadir pada waktu yang cukup tepat dalam kehidupannya.
Heidi berkata, dia menerima pelawaan tersebut tanpa berfikir panjang selepas dihubungi sendiri oleh Luca, yang juga merupakan salah seorang juri Anugerah Lagu Indie tahun lalu.
“Apabila Luca menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini, saya terus melihatnya sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan, lebih-lebih lagi kerana saya mengenali kredibiliti beliau sebagai komposer,” katanya.
Tambah Heidi, perkara pertama yang terlintas di fikirannya selepas mendengar demo Dendam adalah bagaimana lagu itu seolah-olah memahami situasi kehidupan yang sedang dilaluinya ketika itu.

“Lirik lagu ini sangat dekat dengan apa yang saya sedang rasai. Ia seperti memberi ruang untuk saya meluahkan emosi yang selama ini terpendam dan tidak terucap,” katanya.
Lagu Dendam yang sarat dengan elemen emosi mendalam memerlukan Heidi untuk benar-benar menyelami karakter utama filem Nar’sata: Sekutu Setan, iaitu Balqis, seorang wanita yang diuji dengan pelbagai episod duka sehingga emosi kesedihan yang tidak terlerai akhirnya bertukar menjadi dendam.
Bagi memastikan penyampaiannya autentik, Heidi mengakui dia merujuk secara mendalam kepada jalan cerita filem tersebut untuk memahami konflik emosi watak berkenaan.
“Balqis ialah karakter yang melalui ujian bertimpa-timpa. Sebagai seorang yang sangat empati, saya cuba menyalurkan segala rasa kehilangan, kesedihan dan kemarahan yang terpendam itu ke dalam lagu ini,” katanya.
Mengulas mengenai proses rakaman, Heidi berkata cabaran terbesar adalah memastikan kestabilan vokal sambil mengekalkan intensiti emosi sepanjang lagu.
Menurutnya, meskipun sebahagian besar teknik vokal yang digunakan sudah pernah diterokainya sebelum ini, Dendam menuntut tahap stamina dan kawalan pernafasan yang lebih tinggi.
“Lagu ini menyelami emosi yang jarang diluahkan secara terbuka. Jadi, saya perlu memastikan vokal kekal jelas, tetapi dalam masa sama emosi itu sampai kepada pendengar,” katanya.
Dalam pada itu, Heidi menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Luca Sickta serta keseluruhan pasukan produksi sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.

“Sebagai penyanyi yang masih mencari arah dalam industri, sokongan dan dorongan yang diberikan oleh pasukan produksi sangat bermakna buat saya. Pengalaman ini sangat berharga,” katanya.
Menyentuh mesej utama lagu Dendam, Heidi berharap karya tersebut mampu menjadi medium penyembuhan buat mereka yang sedang bergelut dengan kesedihan dan luka emosi.
“Kadang-kadang kita semua menyimpan rasa sedih yang terlalu berat. Bagi saya, mesej lagu ini adalah tentang menerima kesedihan itu, menghadapinya, dan akhirnya melepaskannya dengan reda kerana setiap yang berlaku sudah diatur oleh Tuhan,” katanya.
Heidi turut berharap lagu Dendam akan diterima baik oleh pendengar, manakala filem Nar’sata: Sekutu Setan pula dapat meninggalkan pengajaran bermakna kepada penonton.
“Saya berharap penonton menerima lagu ini dengan hati yang ikhlas, dan untuk filem Nar’sata: Sekutu Setan, semoga ia memberi teladan tentang pentingnya memilih kawan yang baik. Saya juga berharap lagu ini akan terus didengari walaupun tayangan filem di pawagam sudah berakhir,” katanya.
Lagu Dendam kini menjadi nadi emosi kepada filem Nar’sata: Sekutu Setan, menampilkan gabungan penceritaan sinematik yang kuat bersama kekuatan vokal Heidi Moru dalam menyampaikan kisah luka, kehilangan dan kelegaan emosi.
