Latihan Pestapora Malaysia 2026 Kembali ‘Gegarkan’ Stadium Hoki Nasional, Janji Festival Lebih Padu!
Selepas mencetus fenomena luar biasa tahun lalu, penganjur terkemuka Hitman Solutions dan Boss Creator sekali lagi berganding bahu membawa pulang festival muzik rentas sempadan yang dinanti-nantikan Latihan Pestapora Malaysia 2026.
Festival edisi kedua ini dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dengan janji pengalaman yang lebih imersif, lebih bertenaga dan lebih dekat dengan jiwa peminat muzik serumpun.
Tahun lalu, Latihan Pestapora Malaysia mencipta impak besar apabila berjaya menghimpunkan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia dalam satu suasana penuh energi. Antara nama besar yang menghiasi pentas termasuk Bunkface, Bittersweet, Pamungkas, Kunto Aji dan Nadin Amizah.

Kemunculan istimewa Sheila On 7 pula menjadi antara momen paling dinanti-nantikan, sekali gus membuktikan kekuatan nostalgia dan pengaruh muzik Indonesia di Malaysia.
Lebih membanggakan, festival tersebut berjaya menarik kehadiran sekitar 25,000 pengunjung termasuk 10,000 pelawat antarabangsa satu angka yang mengukuhkan statusnya sebagai antara festival rentas budaya paling berpengaruh di rantau ini.
Untuk edisi kali ini, penganjur tampil dengan pelbagai penambahbaikan demi keselesaan dan pengalaman pengunjung. Antaranya termasuk kawasan makanan yang lebih luas dengan lebih 50 vendor makanan dan gaya hidup, selain setiap pengunjung bakal menerima air mineral percuma.

Bukan itu sahaja, festival ini akan berlangsung selama 12 jam tanpa henti dengan lebih 15 artis terpilih yang dikurasi khas bagi memenuhi selera peminat tempatan. Sama ada penampilan pertama atau kemunculan semula artis kegemaran, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dijangka terus mencetus magis tersendiri.
Bagi yang tidak mahu terlepas peluang, jualan tiket “Blind Sale” bagi kategori General Admission (Free Standing) akan mula dijual pada 30 April 2026, jam 2 petang dengan harga RM129 (tidak termasuk caj tambahan).

Dengan harga permulaan yang mampu milik dan pengalaman festival berskala besar, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat bakal sekali lagi menjadi acara wajib hadir buat peminat muzik tempatan dan serantau.
Untuk perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi media sosial @latihanpestapora.my atau melayari laman web rasmi mereka.
