KLP48 Sambut Ulang Tahun Pertama Dengan Konsert Gempak “〜BLOOM〜” Di Zepp KL

JKT48, Ismail Izzani & COËX Turut Meriahkan Pentas Sebagai Artis Jemputan
Kumpulan idola baharu yang semakin mencuri perhatian, KLP48, bakal melakar satu lagi detik bersejarah apabila meraikan ulang tahun pertama mereka menerusi sebuah konsert istimewa bertajuk “〜BLOOM〜” yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 Ogos 2025, jam 5.30 petang di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd, konsert ini menjanjikan persembahan bertenaga dan penuh warna daripada 13 ahli KLP48 yang terdiri daripada bakat pelbagai latar — termasuk 7 warga Malaysia, 4 dari Jepun, 1 dari Indonesia dan 1 dari Hong Kong. Menariknya, kumpulan ini turut menampilkan ahli pemindahan dari AKB48 dan STU48, sekaligus menjadikan mereka antara kumpulan idola paling unik di rantau ini.
Sebagai cabang terbaharu dalam keluarga AKB48, yang memegang rekod Guinness sebagai Kumpulan Pop Terbesar Dunia, KLP48 meneruskan legasi “idola yang anda boleh temui” dengan sentuhan segar dan berbilang budaya yang mencerminkan semangat Malaysia.
Konsert “〜BLOOM〜” turut diserikan dengan kehadiran tiga artis jemputan istimewa iaitu JKT48 – Kumpulan adik dari Indonesia yang menjadi pelopor budaya idola Jepun di Asia Tenggara. Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan semangat serumpun, malah memperkukuh jalinan budaya dalam keluarga 48 Group.
Ismail Izzani, penyanyi R&B/pop yang telah mengumpul jutaan pendengar sejak debutnya pada usia 17 tahun, bakal memikat penonton dengan vokal dinamik dan karismanya di pentas dan COËX Kumpulan pop wanita tempatan yang sedang meningkat naik, dikenali dengan lagu-lagu empowering dan aura bertenaga mereka di pentas serta di platform penstriman digital.

Tiket konsert akan mula dijual pada Khamis, 3 Julai 2025, jam 12 tengah hari di laman rasmi www.excitix.com.my. Setiap pembelian dihadkan kepada dua tiket sahaja, dan harga adalah seperti berikut (termasuk manfaat khas): CAT 3 – RM350 Termasuk bendera KLP48 dan akses sesi penghantaran istimewa (send-off session) bersama semua artis. CAT 1 – RM200 Turut mendapat bendera KLP48 dan akses ke sesi penghantaran istimewa dan CAT 2 – RM100 Termasuk bendera KLP48 sahaja. (Semua harga tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.)

Sejak penubuhannya pada tahun 2024, KLP48 bukan sahaja mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia, malah mula mendapat tempat di hati peminat di Jepun dan rantau Asia. Penampilan mereka di pentas antarabangsa telah membuka mata ramai terhadap potensi besar kumpulan ini yang tampil dengan konsep idola moden, profesional dan inklusif.
Kumpulan ini kini sedang giat menjalani latihan vokal dan tarian intensif bagi memastikan persembahan terbaik sempena konsert ulang tahun ini — satu penghargaan buat peminat yang telah setia menyokong sejak hari pertama.
Untuk maklumat dan kemas kini lanjut, ikuti KLP48 di media sosial, TikTok: @klp48_official, Instagram/Facebook: @KLP48official dan Laman web rasmi: www.klp48.my