Killa Driz, Chronicalz ‘Stuntman’ Dalam Kekacauan

Berani Ambil Risiko, Kekal Tenang Dan Percaya Kemampuan Diri
Penyanyi rap Killa Driz tampil dengan single terbaharu, STUNTMAN, yang menyaksikan kerjasama bersama penyanyi rap ChronicalZ dalam karya penuh tenaga yang mengangkat tema keberanian, keyakinan diri dan ketenangan di tengah-tengah kekacauan.
Diterbitkan dan digubah LastKhalif, STUNTMAN dipacu bunyi sintesis yang bertenaga, rentak dram rancak serta persembahan penuh keyakinan, namun pada masa sama mengetengahkan ritma yang lebih santai.
Menurut Killa Driz, konsep lagu itu sengaja dibentuk menerusi pertembungan dua elemen berbeza bagi menggambarkan bagaimana seseorang mampu mencari ketenangan walaupun berdepan situasi yang huru-hara.
“Konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan. Jadi, kami mahu susunan muziknya kedengaran bertenaga, manakala rentak dram pula lebih santai.
“Saya mahu rentak lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang boleh mencari ketenangan walaupun segala-galanya di sekeliling terasa huru-hara,” katanya.
STUNTMAN turut membawa mesej supaya pendengar berani mengambil risiko, mengikut haluan sendiri dan melakukan sesuatu yang mungkin tidak sanggup dicuba orang lain.
Bagi Killa Driz, figura ‘stuntman’ dijadikan simbol keberanian, kebebasan dan keazaman untuk melangkaui batas.
“Lagu ini adalah tentang berani mengambil risiko dan, yang paling penting, kekal setia kepada diri sendiri,” katanya.
Kolaborasi bersama ChronicalZ pula dianggap istimewa memandangkan kedua-dua artis sudah lama mengenali antara satu sama lain menerusi lingkungan kreatif yang sama.
Walaupun pernah berbincang untuk bekerjasama sebelum ini, mereka hanya menantikan karya yang benar-benar autentik dan sesuai dengan identiti muzik masing-masing.
Malah, Killa Driz menyifatkan ChronicalZ antara penyanyi rap kegemarannya dalam industri dan mempunyai pendekatan tersendiri ketika menyampaikan sesebuah karya.

“ChronicalZ merupakan antara penyanyi rap kegemaran saya dalam industri. Sentiasa ada sesuatu yang tidak dijangka dalam caranya mendekati sesebuah lagu. Dia boleh menyampaikan rap dan melodi, jadi perbezaan antara gayanya dengan gaya saya menghasilkan gabungan yang sangat baik.
“Kerjasama ini terasa seperti memang ditakdirkan untuk berlaku,” katanya.
STUNTMAN juga meneruskan kerjasama kreatif Killa Driz bersama LastKhalif yang sudah terjalin sejak peringkat awal kerjayanya.
Menerusi produksi berani serta mesej positif yang dibawa, karya berkenaan mengajak pendengar mempercayai kemampuan diri dan berani mengambil langkah walaupun terpaksa melakukannya sendirian.
“Saya mahu para pendengar saya sentiasa percaya kepada diri sendiri. Tidak ramai pelagak ngeri di dunia, tetapi memiliki mentaliti seperti itu boleh membawa seseorang jauh.
“Saya berharap lagu ini dapat mengingatkan orang ramai supaya berani mengambil risiko dan percaya kepada kemampuan diri mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Killa Driz kini sedang meneruskan pembikinan album terbaharunya, Lepas Senja, yang mendapat inspirasi daripada kehidupan selepas matahari terbenam.
Album itu bakal meneroka pelbagai emosi, hubungan dan detik sepanjang malam, termasuk kisah patah hati, renungan diri, perayaan serta kelegaan.
Peminat boleh mengikuti perkembangan projek berkenaan menerusi Senja World yang menampilkan kandungan di sebalik tabir, momen di studio dan visual berkaitan album.

Killa Driz juga dijadualkan membuat persembahan di Motormaniac pada 6 September ini bersama beberapa artis daripada barisan Def Jam.
Menariknya, persembahan itu bakal menjadi pentas untuk Killa Driz memperdengarkan beberapa lagu daripada Lepas Senja yang masih belum dilancarkan secara rasmi.
Sementara itu, STUNTMAN kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital.
