Mila Jirin Buka Langkah Ke Indonesia, ‘Cukup Sudah Cukup’ Mula Curi Perhatian

Belum sempat dipromosi besar-besaran di Malaysia, lagu kedua daripada album baharu Mila sudah mendapat putaran di Gen FM dan Prambors FM
Belum sempat dipromosikan secara besar-besaran di Malaysia, penyanyi Mila Jirin terlebih dahulu membuka langkah ke Indonesia apabila lagu keduanya, Cukup Sudah Cukup, mula mencuri perhatian pendengar di negara berkenaan.
Lebih mengujakan, lagu yang menjadi sebahagian daripada album baharu Mila yang dijadualkan dilancarkan penghujung tahun ini sudah mendapat putaran di beberapa stesen radio utama Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
Perkembangan itu dilihat sebagai permulaan positif buat Mila yang kini bukan sekadar mahu membina semula momentum muziknya di Malaysia, malah mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar di pasaran seberang.
Menariknya, berbeza dengan single pertama, Tersimpan Dalam Hati, pelancaran Cukup Sudah Cukup tidak disertai sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia.
Sebaliknya, lagu berkenaan diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia secara berperingkat, sekali gus menjadi sebahagian daripada strategi Mila untuk memperkenalkan karya daripada album baharunya kepada pendengar di kedua-dua negara.
Bagi Mila, apabila lagu dan suaranya mula diberikan ruang oleh radio Indonesia, ia cukup bermakna kerana dirinya masih berada pada peringkat awal untuk membina pengenalan di pasaran berkenaan.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan Cukup Sudah Cukup sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
“Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
Cukup Sudah Cukup bukan sekadar memperlihatkan sisi muzik baharu Mila, malah menjadi hasil kerjasama kreatif bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya dihasilkan Aisah Rizky.
Keseluruhan proses produksi audio lagu itu turut dilakukan di Jakarta, merangkumi susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.
Bagi Mila, kerjasama berkenaan menjadi antara langkah awal untuk membina jaringan kreatif di Indonesia, selain membuka ruang meneroka warna muzik dan perspektif baharu.

“Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar. Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia.
“Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” katanya.
Tidak hanya produksi audio, muzik video rasmi Cukup Sudah Cukup juga menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.
Muzik video itu dihasilkan Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan Wahyu Taufani Prialangga. Kerjasama berkenaan sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan kreatif antara tenaga produksi Malaysia dan Indonesia yang dibawa menerusi projek tersebut.
Muzik video rasmi Cukup Sudah Cukup boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos bermula 4 September, jam 3 petang.
Pada tarikh sama, lagu berkenaan turut boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain.
Selepas lagu mula mendapat ruang di radio Indonesia, Mila tidak mahu sekadar menunggu perkembangan itu berkembang sendiri. Sebaliknya, dia bakal turun padang apabila dijadualkan mengadakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini.
Kunjungan itu menjadi peluang buat Mila bertemu secara langsung dengan stesen radio dan media Indonesia, selain memperkenalkan dengan lebih dekat Cukup Sudah Cukup serta perjalanan muzik baharunya.
Menurut Mila, usaha membina nama di pasaran baharu perlu dilakukan secara konsisten dan tidak hanya bergantung kepada pengedaran lagu menerusi platform digital.
“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul.
“Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.

Cukup Sudah Cukup adalah lagu kedua daripada album baharu Mila yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Album itu menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi membabitkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.
Single pertama, Tersimpan Dalam Hati, terlebih dahulu membuka perjalanan berkenaan apabila berjaya menembusi Top 30 carta ‘ERA 40’.
Kini, Cukup Sudah Cukup pula menjadi langkah seterusnya apabila karya itu bukan sahaja diedarkan untuk pasaran Malaysia, malah mula diberi perhatian di Indonesia.
Bagi Mila, langkah ke Indonesia bukan bermaksud mengetepikan pasaran tempatan yang menjadi titik awal perjalanan seninya.
Sebaliknya, dia mahu muziknya bergerak lebih jauh dan mendapat peluang untuk didengarkan oleh khalayak lebih luas di rantau ini.
“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.
“Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri.
“Kalau Cukup Sudah Cukup menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.
