Fatimah Noryyah Bawa Dua Cerita, ‘Bahasa Kasih’ Dan ‘Hari Esok’

Usianya baru 18 tahun, namun penyanyi dan pelakon muda, Fatimah Noryyah, semakin berani meneroka sisi kematangan dalam berkarya apabila tampil dengan dua single terbaharu, Bahasa Kasih dan Hari Esok.
Lebih menarik, kedua-dua lagu itu hadir dengan pendekatan serta mesej berbeza, sekali gus memperlihatkan sisi seni Fatimah yang bukan sekadar mahu menyanyi, sebaliknya membawa cerita dan emosi kepada pendengar.
Bahasa Kasih misalnya, mengangkat kisah kasih sayang yang tidak terucap dan pengorbanan insan yang sentiasa berada di sisi tanpa pernah menuntut penghargaan.
Lirik yang halus digabungkan dengan melodi menyentuh hati menjadikan lagu itu sebuah karya yang mengajak pendengar berhenti seketika dan mengenang insan yang pernah menemani mereka ketika susah dan senang.

“Lagu ini lahir daripada satu kesedaran, bukan kesedihan. Saya harap mereka yang mendengarnya akan terkenang seseorang yang pernah menemani mereka tanpa banyak bicara,” kata Fatimah.
Bahasa Kasih digubah Toni Lim, manakala liriknya hasil nukilan Fara Dolhadi dan Deli Arfadwi. Lee Nai Kong pula bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik.
Bukan sekadar lagu, Bahasa Kasih turut tampil dengan pendekatan visual berbeza apabila video muziknya dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Teknologi berkenaan dimanfaatkan sebagai medium kreatif untuk menterjemahkan mesej kasih sayang, penghargaan dan pengorbanan tanpa kata ke dalam pengalaman visual yang segar dan menarik.
Jika Bahasa Kasih bermain dengan emosi dan penghargaan, Hari Esok pula membawa pendengar menyelami persoalan kehidupan dan ketidakpastian masa depan.
Lebih istimewa, Fatimah bergandingan dengan abangnya sendiri, Syairazi Hasan, untuk lagu berkenaan yang digambarkan seperti sebuah perbualan antara dua beradik.
Mereka saling bertanya, menenangkan dan memberi kekuatan antara satu sama lain, dengan mesej bahawa tiada kehidupan yang sempurna dan hari esok pula tidak pernah menjanjikan kepastian.
“Hari Esok seperti perbualan yang benar-benar pernah kami lalui. Kami berdua sama-sama tidak tahu apa yang menanti, tetapi menyanyikannya bersama abang sendiri membuatkan ia terasa lebih tenang,” katanya.
Hari Esok digubah, diterbitkan dan disusun Harits Agustin, manakala liriknya ditulis Azian MNor.
Dalam perkembangan sama, pengasas Thousands Of Years Media (ToYm), Datuk Wira Jment Lim, menyifatkan pelancaran dua single Fatimah sebagai sesuatu yang dekat dengan perjalanan peribadinya.

Katanya, impian tidak semestinya dicapai dengan seseorang itu sendiri berada di atas pentas kerana ada kalanya ia direalisasikan dengan membantu orang lain mendapatkan peluang.
“Menggapai impian tidak semestinya bermakna kita sendiri yang berdiri di atas pentas. Kadangkala, ia bermakna membina pentas untuk orang lain,” katanya.
Pernah menyimpan impian untuk bergelar penyanyi ketika di bangku sekolah, Jment melihat penubuhan ToYm sebagai kesinambungan cita-cita itu dalam bentuk berbeza.
Menerusi ToYm, beliau mahu mencungkil bakat baharu, menghasilkan muzik berkualiti serta menyediakan ruang kepada artis muda untuk berkarya dan didengari.
Bagi Fatimah pula, perjalanan seninya turut diperkukuh dengan kebolehannya menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.
Selain menyanyi, dia juga aktif dalam bidang lakonan dan melihat kelebihan berkenaan sebagai ruang untuk menghubungkan masyarakat berbilang kaum menerusi karya seni.
Dengan gaya penyampaian yang tulus, segar dan positif, Fatimah mahu terus menghasilkan karya yang menyentuh tema harapan, keluarga dan kesyukuran.
Bahasa Kasih kini boleh didengarkan menerusi platform digital terpilih serta YouTube, manakala ia akan tersedia di Spotify tidak lama lagi.
Hari Esok pula kini boleh didengarkan menerusi platform digital terpilih dan bakal tersedia di Spotify serta YouTube tidak lama lagi.
