Pitahati Bawa ‘Bunyi’ Malaysia Gegar Bali

Psychedelic Rock Tempatan Tembus Pentas AXEAN Festival 2026, Mahu Buka Lebih Banyak Peluang Di Rantau Asia
Bukan sekadar mahu menghiburkan, kumpulan psychedelic rock tempatan, Pitahati, tampil membawa misi lebih besar apabila terpilih mewakili Malaysia di AXEAN Festival 2026 di Jimbaran Hub, Bali, Indonesia, pada 29 dan 30 Ogos ini.
Pitahati menjadi antara tiga nama dari Malaysia yang diberi kepercayaan untuk beraksi pada edisi keenam festival berkenaan, bersama MASDO serta kolaborasi Lil Asian Thiccie dan DJ Magn3sium.
Lebih membanggakan, AXEAN Festival tahun ini menghimpunkan lebih 40 artis dari pelbagai negara yang akan membuat persembahan di tiga pentas, selain program persidangan, sesi networking dan aktiviti pembangunan industri muzik.
Bagi Pitahati, peluang menjejakkan kaki ke pentas AXEAN bukan sekadar untuk bermain muzik di luar negara, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan identiti dan bunyi mereka kepada khalayak serta penggiat industri muzik serantau.
Pengurus Pitahati, Rahman berkata, penyertaan itu membuka ruang untuk kumpulan berkenaan memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar baharu, selain membina jaringan lebih luas dalam industri muzik antarabangsa.
“Bagi Pitahati, peluang ini bukan sekadar sebuah persembahan di luar negara, tetapi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari rantau Asia Tenggara dan luar rantau,” katanya.
Bagi vokalis Pitahati, Ilham pula, pentas festival seperti AXEAN memberi pengalaman yang jauh lebih besar daripada sekadar membuat persembahan.
Menurutnya, mereka mahu menggunakan kesempatan itu untuk melihat perkembangan muzik di rantau ini, bertemu artis serta penggiat industri dan membuka laluan baharu untuk muzik Pitahati.
“Bila kita pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain.
“Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain, dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai,” katanya.
Ilham berkata, penting untuk artis Malaysia berada dalam platform yang menghimpunkan penggiat muzik dari pelbagai negara kerana Asia Tenggara mempunyai kepelbagaian muzik yang cukup menarik.
“Kami rasa penting untuk band Malaysia berada dalam ruang sebegini. Asia Tenggara ada banyak muzik yang menarik, dan kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu.
“Harapnya persembahan Pitahati di Bali nanti boleh membuka lebih banyak peluang untuk muzik kami bergerak di luar Malaysia,” katanya.

AXEAN Festival yang ditubuhkan pada 2020 mempunyai fokus kuat terhadap pertukaran, jaringan dan eksport muzik serantau.
Sejak penubuhannya, platform itu sudah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara selain menghimpunkan ratusan delegasi industri dari pelbagai negara.
Selain wakil Malaysia, edisi kali ini turut menampilkan artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan beberapa negara lain.
Kepelbagaian barisan artis dan penggiat industri yang dihimpunkan menjadikan AXEAN antara platform pertemuan muzik Asia Tenggara yang semakin penting.
Bagi Pitahati, peluang beraksi di Bali itu menjadi satu lagi langkah untuk membawa identiti muzik Malaysia ke khalayak lebih luas, selain membina hubungan dengan komuniti muzik serantau.
Jika sebelum ini muzik mereka lebih sinonim dengan pentas tempatan, AXEAN menjadi ruang untuk Pitahati menguji sejauh mana bunyi psychedelic rock mereka mampu diterima pendengar luar Malaysia.
Pada masa sama, kumpulan itu berharap penampilan di Bali mampu menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak peluang persembahan, kolaborasi dan jaringan industri di rantau Asia Tenggara pada masa akan datang.
