July 27, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Joanne Duke Kembali Dengan ‘Tek Tik Kotor’

2 min read
Spread the love

Sony Music Entertainment Malaysia kini sedang giat mempromosikan Joanne Duke, seorang penyanyi berbakat yang berasal dari Kuching, Sarawak. Menurut syarikat rakaman tersebut, Joanne baharu sahaja mengeluarkan lagunya yang berjudul “Tek Tik Kotor” baru-baru ini.

Dalam sebuah kenyataan akhbar, Sony Music Entertainment Malaysia juga menyatakan bahawa penyanyi hebat kelahiran Bumi Kenyalang itu sebelum ini telah muncul dengan lagu ‘Cinta Tidak Buta’ dan kini, Joanne kembali dengan single baharu, ‘Tek Tik Kotor,’ yang dikeluarkan di bawah Sony Music Entertainment.

Joanne juga turut menjelaskan inspirasi di sebalik single baharunya yang ditujukan khusus untuk lelaki jenis ‘sweet talker’ atau mereka yang pandai berkata-kata dan bermain dengan perasaan wanita.

“Ia juga menyampaikan mesej kepada gadis agar menjaga diri dan maruah mereka terutama yang baru berjinak-jinak dalam dunia pergaulan termasuk di media sosial.

“Jangan mudah tertipu jika lelaki yang baru anda kenali memanggil anda ‘Sayang,’ ‘Baby,’ dan sebagainya. Itu sahaja boleh menjadi bendera merah yang mereka mungkin bermain dengan anda. Ambil masa yang cukup untuk mengenali seseorang ,” kata Joanne dalam kenyataan akhbar yang sama.

Saat ditanya tentang proses rakaman lagu itu pula, Joanne menyatakan bahawa ada sedikit kesulitan.

“Agak susah juga untuk mengeluarkan suara yang bernada sedikit mengghairahkan atau ‘sexy’ kerana perwatakan saya yang agak pemalu. Saya juga biasanya mengambil masa untuk rasa selesa dengan orang yang baru dikenali.

Tapi semuanya berjalan lancar. Saya sangat berterima kasih kepada para pencipta dan penulis lagu iaitu kumpulan Klangit dan juga produser lagu ini, saudara
Koh Kok Boon kerana telah menghasilkan lagu ini dengan baik,” tambah Joanne lagi.

Joanne yang masih baru dalam arena muzik tempatan juga berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua pihak. “Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi media sosial seperti TikTok dan juga Instagram,” harapan Joanne menutup bicara.

Bakal dikeluarkan pada tarikh 31 Mei 2024, ‘Tek Tik Kotor’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page