July 3, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Jiwa Rasa 5.0 Satukan Rock, Pop dan Nasyid Demi Kebajikan

Spread the love

Nizam Laksamana Himpunkan Zamani, Tam Spider, Hazama, Haiza Dan UNIC Dalam Konsert Amal Bantu Pesakit Kanser, Kanak-Kanak Autisme Serta OKU.

Muzik sememangnya mampu menyatukan manusia tanpa mengira usia, latar belakang atau cita rasa. Atas semangat itu, penyanyi rock legenda Nizam Laksamana sekali lagi mengangkat misi kebajikan menerusi penganjuran Konsert Makan Malam Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 yang bakal berlangsung pada 3 Oktober depan di Noah Grand Ballroom, Taman Melawati.

Memasuki penganjuran edisi kelima, konsert yang diterbitkan oleh Zara Event Management itu bukan sekadar menghimpunkan nama besar industri muzik tanah air, malah terus menjadi platform mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

Lebih istimewa, Jiwa Rasa 5.0 menyaksikan gabungan artis daripada pelbagai genre apabila legenda rock seperti Zamani Slam dan Tam Spider berkongsi pentas bersama Hazama Azmi, Azmani, Haiza serta kumpulan nasyid UNIC dalam satu persembahan yang dijangka sarat dengan nostalgia, kejutan dan mesej kemanusiaan.

Menurut penerbitnya, Zulremy Daud, hasil kutipan konsert kali ini akan disalurkan kepada beberapa pertubuhan kebajikan termasuk Cancer Survivors Malaysia, Adlina Charity Circle serta PPDK Milenium yang membantu kanak-kanak autisme dan orang kurang upaya (OKU).

“Sejak awal penganjuran, Jiwa Rasa dikenali sebagai konsert yang membantu artis-artis veteran yang memerlukan. Namun kali ini, kami mahu memperluaskan manfaat kepada kanak-kanak dan remaja yang sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

“Kami berharap masyarakat bukan sahaja hadir untuk menikmati persembahan, tetapi turut bersama-sama menjayakan misi kebajikan ini,” katanya ketika majlis pelancaran konsert di Restoran Asam Pedas London, Bandar Baru Selayang.

Sementara itu, Nizam berkata beliau bersyukur apabila Jiwa Rasa terus mendapat sokongan pelbagai pihak sehingga berjaya memasuki edisi kelima.

Katanya, sebanyak 60 meja disediakan dengan kapasiti 10 tetamu setiap meja, manakala harga jualan bermula daripada RM1,700 sehingga RM10,000.

“Walaupun sasaran kehadiran kali ini sekitar 600 orang berbanding 700 pada tahun lalu, saya percaya peminat muzik tetap akan hadir memberikan sokongan kerana mereka tahu setiap pembelian tiket membawa makna yang cukup besar kepada mereka yang memerlukan.

“Saya berharap Jiwa Rasa akan terus menjadi acara tahunan yang dinantikan, bukan sahaja kerana persembahan artis-artis hebat, tetapi juga kerana nilai kemanusiaan yang dibawa,” katanya.

Bagi Zamani, keunikan Jiwa Rasa terletak pada gabungan artis daripada pelbagai aliran muzik yang mampu menarik penonton daripada semua lapisan umur.

“Penonton boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu popular yang dekat di hati mereka, selain beberapa lagu istimewa yang mungkin sudah lama tidak dipersembahkan secara langsung.

“Konsert seperti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memberi peluang kepada kami menggunakan muzik untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Tam pula berkata persembahan secara langsung sentiasa menjanjikan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Mungkin akan ada kolaborasi spontan, pertukaran lagu atau gandingan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Itulah keistimewaan persembahan secara langsung.

“Lebih penting, kami semua berada di atas pentas kerana satu tujuan yang sama, iaitu membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil UNIC, Bazli, berkata kehadiran kumpulan nasyid itu melengkapkan konsep Jiwa Rasa yang bukan sekadar menghiburkan, malah turut menyampaikan mesej kasih sayang dan keinsafan.

“Setiap persembahan mempunyai roh tersendiri. Jiwa Rasa bukan hanya mengenai hiburan, tetapi mengenai keprihatinan, kasih sayang dan tanggungjawab sesama insan. Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada usaha murni ini,” katanya.

Konsert amal itu dijangka berlangsung selama dua jam bermula jam 8 malam, manakala tiket kini sudah mula dijual dengan orang ramai boleh membuat tempahan menerusi platform Ticket2U.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page